Tuesday 3 November 2015

MALIM GHOZALI PK - Sasterawan Perak Ke-3

Malim Ghozali PK ialah nama pena Mohamed Ghozali bin Haji Abdul Rashid telah dinobatkan oleh Kerajaan Negeri Perak sebagai Sasterawan Perak ke-3 selepas Suhaimi Haji Muhammad (1987), Mana Sikana @ Dr Abdul Rahman Hanapiah (2004) pada 13 Disember 2014 sempena majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-4  (HSDR4) di Pulau Pangkor.  Beliau menerima watikah, tropi dan cek bernilai RM50K daripada YAB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.  Anugerah Sasterawan Perak  adalah pengiktirafan tertinggi Kerajaan Perak kepada para pengarang anak Perak yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam menghasilkan karya kreatif bermutu tinggi dalam bidang persuratan dan kesusasteraan Melayu.
 Di samping itu, Malim juga merupakan penerima S.E.A Write Award tahun 2013 yang ke-35 sejak anugerah tersebut diwujudkan pada tahun 1979.
 Beliau dilahirkan pada 4 Mac 1949 di Kampung Malim Nawar, Perak. Malim Ghozali PK mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh, Perak sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian Kelas II Atas) dalam bidang Pengajian Melayu/Antropologi Sosial dari Universiti Malaya pada tahun 1973. Beliau juga mempunyai Sijil Pentadbiran dan Pengurusan Tanah, Institut Tadbiran Awam Negara (1974) dan Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang Pentadbiran Pelabuhan dan Perkapalan dari Universiti Wales, United Kingdom (1978).
Malim Ghozali PK berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama 21 tahun sebelum bersara pilihan pada 1 April 1994 dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Hubungan Antarabangsa, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Semasa masih berkhidmat, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan seperti Penolong Pegawai Daerah Slim River, Perak (1975-1976), Ketua Imigresen Wilayah Selatan (1978-1981), Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Johor (1981-1983) dan Pengarah Latihan Jabatan Tenaga Rakyat (1984-1987). Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Lembaga Pelesenan Perkapalan Malaysia yang pertama. Kini, beliau dilantik sebagai Felow Penyelidik Kanan di Institut Darul Ridzuan, Ipoh, Perak di samping menjadi pensyarah sambilan di Fakulti Penulisan Kreatif,  Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang Bengkel Terjemahan Karya Dramatik Inggeris dan Seminar Cereka.
Malim Ghozali PK menulis dalam semua genre sastera seperti novel, cerpen, puisi, dan esei. Namun, kekuatan beliau nyata terserlah dalam genre novel dan cerpen. Karya beliau banyak memenangi hadiah sayembara pada peringkat kebangsaan. Antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Public Bank, Hadiah Sastera Berita Publications dan Hadiah Sayembara ESSO-GAPENA V.
Malim Ghozali PK menghasilkan kumpulan cerpennya yang pertama, Usia pada tahun 2006. Kumpulan cerpen keduanya pula Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! menyusul pada tahun 2008. Kekuatan Malim Ghozali PK dalam genre cerpen nyata terserlah apabila cerpen beliau banyak memenangi hadiah antaranya cerpen “Sepanjang Lorong Mimpiku” yang tersiar dalam majalah Dewan Budaya dan telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 bagi kategori cerpen eceran. Cerpen “Tukang Sepatu dan Sahabat dari Bukit”, “Di Pagi Syawal Apakah Yang Kaucari” dan “Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir” masing-masing memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil pada tahun 2007, 2008 dan 2009. Malim Ghozali PK juga pernah muncul sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 melalui cerpen “Redang”, Hadiah Sastera Malaysia 1986/1987 melalui cerpen “Sayang Ottawa Sungainya Sejuk” dan Hadiah Sastera Malaysia 1988/1989 melalui puisi “Musim Mencari Kristal”.
Sehingga kini, Malim Ghozali PK telah menghasilkan tiga (3) buah novel, tiga (3) kumpulan puisi dan dua (2) kumpulan cerpen perseorangan. Novel Redang dan Janji Paramaribo terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dihasilkan pada tahun 1989 dan 1990. Redang telah diadaptasikan kepada drama tv oleh Aziz HM dengan judul Ipin selain dipentaskan beberapa kali. Novel Daun pula telah memenangi  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kategori novel.
Selain menulis karya kreatif, Malim Ghozali PK juga menghasilkan kajian akademik. Antaranya termasuklah The Profound Truth: Understanding Perfection (2006) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Kebenaran Mutlak: Memahami Kesempurnaan, Traffic Separation Schemes in the Straits of Malacca, Images – Anderson School 1909-2009, Kampung-kampung Tersohor di Sepanjang Sungai Perak dan Mendayung ke Muara…Cabaran-cabaran Mutakhir dan Mendatang.
Malim Ghozali PK prolifik menterjemahkan karya sastera dan akademik termasuklah karya Sasterawan Negara ke dalam bahasa Inggeris dan juga karya penulis luar ke dalam bahasa Melayu. Novel Janji Paramaribo telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Promises of Paramaribo dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Beliau turut menterjemahkan karya Mana Setangginya karya SN Noordin Hassan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Franckincense dan Imam karya SN Abdullah Hussain.
Malim Ghozali PK pernah mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Centre For Creative Artistes, Virginia, Amerika Syarikat pada tahun 1989 dan hasilnya beliau berjaya menyiapkan novel pertamanya Janji Paramaribo. Beliau juga pernah mengikuti Program Penulisan Antarabangsa IOWA di  University of IOWA, Amerika Syarikat pada tahun 2007. Selain itu, Malim Ghozali PK juga dilantik sebagai pembimbing penulisan cerpen mewakili Malaysia dalam Bengkel Penulisan yang dianjurkan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Bogor, Indonesia pada tahun 2008. Beliau juga aktif membentangkan makalah di dalam negara dan di luar negara di samping memberikan ceramah tentang al-Quran. Beliau juga mengendalikan ruangan “Sains dan al-Quran” dalam majalah Sinar Dakwah dan ruangan pojok “Minda Malim” dalam akhbar Suara Perak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...