Tuesday 27 November 2012

AZIM SALEH

 oleh  TALIB SAMAT
(dr.talibsamat@yahoo.com)

Kira-kira  jam 12.20  malam, 7 November 2012, saya  menerima panggilan telefon daripada anak Azim Saleh yang menceritakan bapanya  baru saja meninggal dunia. Hal  ini  menyebabkan saya teringat betapa beberapa bulan lalu  saya ada  menghantar mesej SMS    tetapi tidak berjawab. Beliau lama sebelum itu ada menceritakan masalah penyakit jantung yang dialaminya. Jenazahnya dikebumikan pada 7 November 2012 di  kampung   isterinya di Rembau, Negeri Sembilan.
 Azim Saleh atau nama sebenarnya Salehuddin Ghazali dilahirkan pada 30 Oktober 1959 di Kampung  Sungai Limau, Sitiawan, Perak  Darul Ridzuan.  Beliau  mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Lekir, Perak. Beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan di SMJK  Nan Hwa, Sitiawan, Perak.

Sepanjang hayatnya selama  53 tahun, beliau banyak menghasilkan karya-karya sastera berupa cerpen,puisi,rencana,skrip,lirik lagu dan siri cerita kanak-kanak yang terbit   di pelbagai media massa serta antologi bersama  penulis lain yang sezaman dengannya.

Puisinya  yang berjudul  “Pusar Sejarah” yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia keluaran 29 Ogos 1993   memenangi hadiah sagu hati  dalam  penilaian Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank  1993  dan termuat dalam antologi Sungai Kasih: Suara 3  terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd pada tahun 1994.

Puisi “Pusar Sejarah” karya Azim Saleh yang merupakan karya  terbaik beliau berbunyi   seperti berikut:

            Pusar Sejarah

            Nobat nafiri adalah saksi sumpahnya
            pada rahsia
            pertabalan batin yang merakam
            istiadat penjajahan.
            tubuhnya terasa kembang dengan
           darah kuning.

            Sebagai pernyataan hak, diputarnya
            kembali sejarah itu ke pusar asal.
            Kali ini tanpa peradaban dia
            melayah dengan sayap emas-
            mengarak mahkota yang pernah
            terhunjam ke  limbah.
            segala fatwa habis disanggah oleh
            hukum pertuanannya.

Setelah puas bertemasya menghimpun
            karun di gua  laba
            dia mengukir  keranda.

            Tak perlu baginya
            bergalas adat atau memungut dastar
            yang terjatuh
            kerana pada anggun darjat, nilai
            mohor di  kakinya
            jauh lebih mulia dari nyawa sekalian
            warga marhaen.

           Tanpa sedar, dari pusar  sejarah itu
            tercerna rahsia
            pendaulatan  si petualang
            perampas tanah-tanah lapang.
            seluruh  warga marhaen telah mula
            mengasah akal untuk berjuang
            mencantas  ketaksuban
            menderhaka demi keadilan !

            Panel penilai Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank 1993 yang terdiri  daripada  Prof. Dr. Mohd. Taib Osman (pengerusi), Prof. Madya Kamaruzzaman  A Kadir, Prof. Madya Abdullah Tahir, Prof. Madya  Siti Zainon lsmail dan Haji  Hamzah Hamdani dalam  laporannya menyebutkan, Ini berbeza dengan gaya penyampaian sajak “Dendam  Angin Menggegar Bulan” oleh Fazli  Osman, ” Kita dan  Kijang  Emas ltu” oleh Zaen  Kasturi, “Khalayak  Sejagat “ oleh lmlan Adabi, “Musim Sepi”  oleh Hasidah Disan dan “Pusar Sejarah” oleh Azim Salleh.

            Pada  sajak-sajak  ini,terlihat  kecenderungan penyajak-penyajaknya melakukan  pemutusan kalimat-kalimat untuk mewujudkan pembentukan rangkap sebagai  pengembangan persoalannya. Namun daripada ketelitian serta kemahiran penyajak-penyajak tersebut menempatkan gaya pemutusan itu, masih terasa  kesatuan pemikiran dalam persoalan  yang  dikemukakan tidak kehilangan arah dan kesan.”(1994: 168).

             Puisi-puisinya termuat dalam antologi puisi  Lambaian Nusa   (DBP),  dan cerpen-cerpennya termuat juga dalam antologi cerpen Terbuang Jauh  (DBP) dan Tanglung  Bunga Sakura (DBP) yang  kebetulan saya selenggarakan sewaktu bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka  dahulu.

             Allahyarham Azim  Saleh atau nama sebenarnya  Salehuddin Ghazali pernah bertugas di sebuah syarikat swasta sebelum bertukar  kerja sebagai editor di beberapa syarikat penerbitan  termasuk Kharisma Publications  bersama-sama Ujang, Lotfi  lsmail  dan Mohd. Azlan Sulong, kerana minatnya yang mendalam dalam bidang kesusasteraan dan penulisan kreatif.

              Beliau turut aktif dalam program sastera di radio  Seremban mahupun  Kuala Lumpur (RTM). Malah beliau aktif  menyediakan  skrip menghuraikan nama- nama Allah (Asmaul Husna) di radio terbitan RTM  bersumberkan daripada buku saya 99 Nama Allah  Yang Termasyhur terbitan Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd.(1983).

               Saya terhutang budi kepada beliau kerana sewaktu beliau menjadi editor buku di Karisma  Publications  ,beliau bersusah payah  menguruskan proses penyuntingan dan penerbitan kumpulan drama pentas dan televisyen  saya yang berjudul Subuh untuk bacaan umum  dan keperluan kursus di UiTM, Shah Alam,Selangor.

                Sesudah tidak bekerja di Karisma  Publications ,beliau berhijrah ke kampung isterinya  di Rembau, Negeri Sembilan   sambil  menulis skrip drama radio atau skrip stesen radio  sambil  membuat kerja-kerja penyuntingan  buku-buku agama Penerbitan Azhar (Johor Bahru) dan penerbit-penerbit lain di rumahnya sahaja. Di antara buku yang disuntingnya  termasuklah buku  tentang Ayam Serama  bersama Lotfi  lsmail  dan buku-buku agama yang tentunya menyumbangkan ganjaran pahala yang besar buatnya  sesudah ketiadaan beliau di dunia  ini.

            Warisan dan sumbangan  abadi beliau yang terbesar kepada dunia kesusasteraan Melayu  ialah ikut bersama saya  menyelenggarakan antologi puisi  Tsunami: Rakaman Sejarah Ngeri  yang menghimpunkan ratusan puisi tentang peristiwa  Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang menggegarkan seluruh dunia. Beliau berusaha mencarikan penerbitnya di Kuala Lumpur iaitu Penerbit Karyawangsa Sdn. Bhd.  ltulah  satu-satunya buku puisi tsunami yang pernah  terbit di bumi Malaysia pada tahun 2005.

               Allahyarham Azim Saleh  pernah berlakon dalam drama pentas “Dosa Demang” karya dan arahan  Rahman Shaari  pada tahun 1983  di Sudut  Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka  yang memperlihatkan minatnya yang mendalam kepada  dunia lakonan drama  pentas  dan berbakat juga dalam penulisan skrip  drama radio. Beliau pernah membawa saya menjadi tetamu suatu program radio di Radio Selangor dan Seremban pada tahun  1990-an    yang berkaitan bidang penulisan dan dunia kesusasteraan.

                Sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan ialah beliau ada menulis esei bertajuk “Sejambak  Kenangan Bersama Dr. Hj. Talib  Samat” yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera  (2007) yang mengulas kenang-kenangan bersama saya  sepanjang melayari  dunia sastera sejak terlibat dengan RANTAI (Rangkaian Penulis Ibu Kota)  atau KALAM (Persatuan Penulis Kuala  Lumpur).

                Meskipun pada akhir hayatnya beliau  berhijrah ke  Rembau, Negeri  Sembilan, saya sering juga  menziarahinya  sewaktu pulang ke Johor atau jika ada urusan lain di Negeri Sembilan  sebagai  tanda persahabatan atau bertanya khabar sementara ada hayat di  kandung badan . Kali terakhir menemuinya    ialah sewaktu saya berselisih  jalan dengannya di  RTM sekitar  bulan  Mac  2012 yang lalu sewaktu menghantar surat undangan kepada pihak tertentu di sana tentang suatu kegiatan di UPSI. Sesudah itu saya  tiada  menemuinya lagi  sehinggalah mendapat berita tentang kematiannya menerusi panggilan telefon pada jam 12.20  malam, 7 November 2012.

                  Kematiannya sewaktu berusia 53 tahun segera mendorong saya menulis puisi khas berjudul “ Kepergian  Sahabatku , Azim Saleh” yang saya muatkan dalam kumpulan puisi Memburu Khusnul Khatimah terbitan  Penerbit Mentari (2012)  yang saya gerakkan   sendiri untuk menerbitkan apa jua buku atau karya tanpa halangan asal saja ada kos mencetaknya.  Sesungguhnya kita semua manusia tidak mengetahui bila, di  bumi mana dan bagaimana kita akan menemui Allah. Semuanya tersimpan dalam ilmu Allah.


Thursday 9 February 2012

BAHARUDDIN KAHAR: Baharuddin bin Buyung Kahar, ( B.K. Samiyung)



LAHIR :   24 Disember 1946, di Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak.
ALAMAT :   No. 99, Jalan Temenggong, 81006 Segamat, Johor Darul Takzim.

PADA AWAL tahun 1970-an, Baharuddin Kahar menggemari muzik dan berhasrat mahu menjadi pemuzik yang berjaya.  Setelah mencuba nasib di bidang ini, usahanya tidak berhasil.  Baharuddin mencuba pula bidang penulisan dan ternyata lapangan ini memang miliknya.  Bakatnya terserlah  dalam bidang ini dan keterlibatannya itu tidak sia-sia.  Cerpen, novel dan puisi yang dihasilkannya  mampu mengangkat namanya  sebagai penulis berkaliber, malahan karya-karyanya dapat disebariskan dengan karya penulis terkenal yang lain.
Pendidikan awal Baharuddin bermula pada tahun 1953 di Sekolah Rendah Inggeris Catur Avenue, Ipoh, Perak hingga tamat darjah enam (1959).  Kemudian pada tahun 1960 beliau melanjutkan pendidikan menengahnya di Sekolah Inggeris Anderson dan lulus M.C.E. pada tahun 1965.  Setelah tamat tingkatan lima, Baharuddin cuba mencari pekerjaan.  Pelbagai pekerjaan pernah dilakukannya, antaranya ialah buruh, peniaga, pemuzik dan sebagai pemberita daerah bagi akhbar Berita Harian pada tahun 1973.  Pada tahun 1974, Baharuddin menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Tsung Wah (swasta), Kuala Kangsar, Perak.  Baharuddin mengajar di sekolah tersebut  sehingga tahun 1984.
Sepanjang tahun 1985, Baharuddin mengikuti kursus penerbitan di ILO, Turin, Itali dan di Hertlepool, England.  Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1986 dan dengan pengalaman yang diperoleh dari luar negara, Baharuddin membuka syarikat penerbitan yang diberi nama Syarikat Penerbitan SS di Ipoh, Perak.  Syarikat yang dikendalikan cuma bertahan selama dua tahun sahaja dan mulai tahun 1988 Baharuddin sekali lagi meninggalkan tanah air bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Sumatera Utara, Medan, Indonesia tetapi kerana sebab-sebab tertentu, beliau tidak berdaya menamatkan pengajiannya itu.
Keterlibatannya dalam dunia penulisan bermula daripada pembacaan novel Salina karya A. Samad Said.  Ketika itu  Baharuddin baru menjangkau usia 17 tahun, apabila seorang teman datang dan memberinya novel tersebut. Setelah selesai membaca, terbetik keinginannya untuk menulis.  Semakin hari hasrat itu semakin subur dan akhirnya terhasillah beberapa buah cerpen dan esei ringan, pada sekitar tahun 1970-an.  Cerpen pertamanya berjudul "Abah Nak Jumpa Abang" tersiar dalam Utusan Zaman, 18 April 1971.  Cerpen ini menjadi pendorong buat Baharuddin terus menghasilkan cerpen-cerpen yang bermutu hingga berjaya meraih beberapa hadiah menerusi sayembara sastera.  Misalnya, cerpen "Bahure" dan "Longnya Laku" berjaya memenangi Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1976 dan 1981.  Bagi siri Hadiah Sastera Malaysia (HSM), cerpen-cerpennya yang berjaya meraih hadiah ialah "Capa Rengat" bagi HSM tahun 1976/1977; cerpen "Sempana Ganja Iras" menerima HSM 1982/1983 dan kumpulan cerpen, Terima Kasih Tuhanku pula terpilih memenangi HSM tahun 1984/1985.
Selain  menghasilkan cerpen, Baharuddin juga menulis puisi dan sehingga kini lebih kurang 40 buah puisi telah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar,  namun kehadiran Baharuddin dalam genre ini tidak begitu ketara dan kurang diperhatikan.  Selain kedua-dua genre ini, Baharuddin menghasilkan novel dan bidang penulisan ini diterokainya pada tahun 1985.  Hasilnya, novel pertamanya yang berjudul Senjakala (1986) terpilih sebagai buku teks sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Atas kegigihan dan bakat yang dimiliki, Baharuddin terpilih sebagai penerima “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985.  Sebagai penerima kedua anugerah ini selepas Sasterawan Negara Usman Awang, Baharuddin menyiapkan penulisan sebuah novel yang mengisahkan perjuangan buruh lombong.  Novel Menerjang Gelombang ini diasaskan daripada pekerjaan ayahnya sendiri.  Beliau yang sering mengikut ayahnya ke lombong, dapat memerhati dan cuba memahami kerja-kerja yang harus dikendalikan oleh seorang buruh di lombong.  Semasa mengusahakan projek penulisan ini, Baharuddin diberi bayaran tunai untuk membuat penyelidikan dan sara hidup bulanan selama satu tahun.
Kejayaan Baharuddin dalam bidang penulisan bukan hanya kerana bakat yang dimilikinya, tetapi disokong kuat oleh penelitian, pengalaman dan pembacaan yang luas.  Karya-karya Baharuddin sama ada cerpen, puisi novel, mahupun banyak mengangkat kehidupan insaniah dan kemanusiaan.  Beliau juga gemar memberi perhatian utama kepada persoalan kehidupan masyarakat bawahan seperti orang tua dan orang yang kurang sempurna sifatnya.  Bagi Baharuddin, golongan ini mempunyai prinsip sendiri demi maruah dan harga diri.  Selalunya, dalam menghasilkan karya, perjuangan yang Baharuddin tonjolkan melalui tokoh utamanya bukan mengarah kepada kepentingan peribadi tetapi untuk kepentingan keluarga, masyarakat dan soal hak.
Kini, beliau lebih selesa sebagai penulis bebas dan dalam proses menyiapkan novel Cerita Adam. Beliau juga berniaga untuk menampung kehidupan.
KARYA
Cerpen
-
Kampung Halaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982
-
Terima Kasih Tuhanku.  Kuala Lumpur: Warusha, 1984
Novel
-
Senjakala.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986
-
Menerjang Gelombang, Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1989
Drama Radio
-
Pengorbanan.   Tersiar di radio  Johor Baharu sempena Hari Raya Korban 1996
Pautan:

  Dikemaskini pada 14 Jan 2009 : 858518
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...