Saturday 28 May 2011

RAMLI DAUD: Sasterawan FELDA yang saya kenali


 Oleh Zabidin Hj Ismail

Pengenalan

Sasterawan  Felda tidak ramai di negara ini. Malahan ungkapan “Sasterawan Felda” itu sendiri tidak dikenali ramai meskipun cuba di  sinonimkan dengan pengarang atau penulis dari kalangan yang berkaitan dengan FELDA.

          Istilah “sasterawan” secara umumnya diertikan sebagai seseorang yang kerjanya menghasilkan karya sastera dan mutu karyanya telah mencapai satu tahap yang mendapat pengiktirafan masyarakat.  Manakala arkonim FELDA ialah Federal Land Development  Autority  yang dahulunya dinamakan sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP).

          FELDA merupakan sebuah skim kerajaan dalam memajukan hutan belantara untuk dijadikan penempatan dan kawasan pertanian berskala besar dengan tanaman komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit. Melalui skim ini puluhan ribu peneroka yang berasal dari kampung tradisional ditempatkan di sesuatu rancangan tanah dan transformasi ini dijalankan semenjak awal tahun 60-an.

          Sehubungan itu mucullah beberapa kawasan FELDA di negara ini dan antara yang terkenal ialah Ulu Tiram, Kulai, Johor dan Sungai Klah, Sungkai, Perak.

          Dalam memperkatakan ‘sasterawan FELDA” ini, Ulu Tiram dan Sungai Klah terkenal dengan lokasi skim tanah rancangan yang telah wujud semenjak tahun 60-an agak sinonim pula dengan kelahiran para penulis sastera yang menghuninya. Umpamanya Dr Talib Samat dan Gunawan Mahmod berasal dari Felda Ulu Tiram, Kulai manakala Ramli Daud pula bermastautin di Felda Sungai Klah.

          Hakikatnya, sasterawan FELDA itu adalah mereka yang dikesani cuma tiga orang sahaja. Dan yang sering menggunakan istilah “sasterawan FELDA” itu adalah Dr Talib Samat sendiri. Sama ada masyarakat mengiktiraf mereka sebagai “sasterawan FELDA” atau sebaliknya terpulang kepada persekitaran dan khalayak sastera.

          Sesuatu istilah itu yang kerap diguna-pakai oleh penuturnya akan menjadi popular dan kemudiannya diterima oleh masyarakat sekaligus beroleh pengiktirafan massa secara evolusi. Hanya masa akan menentukan dan jikakalau masa akan datang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  mengiktiraf istilah ini, maka Dr Talib Samat layak digelar sebagai penciptanya!

Ramli Daud Sasterawan FELDA

          Anak kelahiran Kampung Batu Hitam, Kampong Gajah, Perak ini sebelum meneroka rancangan tanah Felda Sg. Klah pada tahun 1968 adalah seorang pemberita sambilan Utusan Melayu yang amat rajin mengirimkan berita tempatan ke akhbar tersebut. Peristiwa dan cerita di Kampong Gajah  diolah  dalam bentuk berita dan rencana untuk siaran akhbar.

          Ramli Daud dilahirkan pada tahun 1937 dan menerima pendidikan setakat darjah lima sekolah Melayu serta menyambung pelajaran di Sekolah Agama Rakyat di Kampong Gajah selama beberapa tahun. Namun begitu beliau menyedari bahawa dirinya memiliki bakat menulis lantas selepas sekolah, Ramli terus menceburkan diri dalam dunia penulisan dan kewartawanan.

          Pusat Akhbar Asia Tenggara di Kuala Lumpur telah memberikan ilmu kewartawanan kepadanya pada tahun 1967. Semenjak itu beliau mempunyai keyakinan diri untuk menulis dan menghantar karya ke penerbitan lain seperti Warta Negara.

          Sebenarnya beliau mula menulis pada pertengahan tahun 50-an di majalah Pedoman Kanak-kanak  dan akhbar Utusan Kanak-kanak terbitan Utusan Melayu Singapura. Cerpen pertamanya bertajuk Mari Dengar Cerita tersiar dalam Utusan Kanak-kanak. Manakala cerpen dewasanya berjudul Ke Bintang Mana (Majalah Fesyen; 1960) dengan menggunakan nama pena; Indera Sakti.

          Ramli selain menggunakan Indera Sakti dalam penulisan cerpen, kadang-kala memakai nama pena lain iaitu R. Pahri untuk penerbitan seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Mingguan Perdana. Beliau tidak prolifik dalam menghasilkan  cerpen kerana sepanjang tahun 1980-an hingga 1990-an hanya 14 buah sahaja yang disiarkan oleh penerbitan berkenaan.

          Selain cerpen,  beliau juga menulis sajak yang pernah tersiar di Berita Perak sekitar tahun 1990-an tetapi berbanding cerpen yang ada kekuatan, sebaliknya sajak-sajak yang dihasilkan berbentuk prosaik yang kurang berkesan.

          Ramli Daud tidak menulis sepenuh masa. Semenjak meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke Felda Sg Klah, dia agak lama “berehat” daripada menulis dan memulakan semula menulis hanya pada tahun 1980-an.

          Walaunpun tidak selalu menulis tetapi Ramli Daud memiliki kekuatan tersendiri dalam mengarang cerpen. Buktinya, Tandan Tua (Berita Minggu; 20 Febuari 1982) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983 yang sekaligus menempatkan cerpen itu dalam antologi Sahabat (DBP, 1984) yang mencatatkan nama Ramli Daud di persada sastera Negara.

          Cerpen Tandan Tua adalah yang pertama dihantarnya ke Berita Minggu setelah “berehat” selama sepuluh tahun. Kreativiti Ramli terserlah dalam kepandaiannya melukiskan pengalaman dan persekitaran secara “hidup” dan bersahaja sebagaimana yang diolahnya dalam Tandan Tua.

          Kekuatan inilah yang membawa Ramli mengondol banyak hadiah cerpen seperti Hadiah Sagu Hati Anugerah Sastera Perak Darul Ridzuan 1 (1985) dan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1995). Kekuatan yang dimaksudkan itu seperti ulasan Dr Talib Samat dalam menilai antologi  Pelanggaran Mimpi (Karyawan Pk; 2008) berbunyi begini;

     “Keistimewaan cerpen-cerpen Ramli Daud terletak pada latar masyarakat Felda, gaya bahasa tersendiri yang menerapkan dialek Perak dan ketelusan watak-wataknya mengucapkan isu-isu seharian masyarakat Melayu dengan jujur, berterus-terang dan sinis tetapi berhemah.”



          Setakat ini beliau mempunyai dua buah antologi cerpen perseorangan iaitu Melarik Waktu (DBP; 2001) dan Pelanggaran Mimpi yang mengumpulkan sebanyak 38 buah cerpen yang dihasilkan sepanjang hayat kepengarangannya. Selain cerpen, beliau juga menukangi novel dan terhasil sebanyak dua buah iaitu Titis-titis Mutiara Kasih  dan Hujan Rindu  kedua-duanya terbitan Rhythm Publications, Pulau Pinang.

Kegiatan dalam badan penulis

Ramli Daud meskipun sudah berusia 72 tahun (2009) tetapi tidak pula memencil diri sebaliknya rajin berpersatuan. Dia menyertai Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) pada tahun 1996 dan kini sebagai Ahli Jawatankuasa bagi penggal 2008-2010 di samping dilantik sebagai Ketua Sudut Karyawan Pk, Sungkai. Banyak ide bernas dilantarkannya semasa bermesyuarat semata-mata untuk kemajuan persatuan.

          Sebab itu Karyawan Pk mencalonkan beliau menerima anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Perak pada tahun 1996 bagi menghargai jasa bakti yang telah ditaburnya di arena kesusasteraan Melayu Moden tanah air.

Penutup

Ramli Daud sebutir permata di tanah rancangan Felda adalah layak digelar Sasterawan FELDA yang sepanjang hayat penulisannya banyak mengetengahkan kisah, getir kehidupan masyarakat Felda yang amat kurang diketahui ramai. Melalui karyanya terutama genre cerpen, FELDA muncul di persada sastera bangsa. Sesungguhnya, FELDA seharusnya berterima kasih kepada beliau!
Rujukan:

 

Ramli Daud 2008. Pelanggaran Mimpi. Ipoh: Karyawan Pk

Talib Samat (Dr.), 2002. Islam di antara percikan sastera dan budaya. Shah Alam: Karisma Publication

Yaarif Sulaiman, “Impian seorang wartawan lama” (Utusan Melayu, 30.12.1997 hlm. 26

__________

                Kertas Kerja  ini telah dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 11 Oktober 2009 jam 11.00 pagi  yang dianjurkan oleh Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa UPSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan FELDA.

Thursday 12 May 2011

CHAI LOON GUAN

Chai Loon Guan atau nama penanya Adichonan dilahirkan pada 9 Februari 1960 di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK Methodist, Tg.Malim pada tahun 1967 - 1972 dan sekolah menengah di SMJK Methodist, Tg.Malim pada tahun 1973 – 1977.  Sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1980 – 81, beliau pernah menjadi guru sementara di SMJK Katholik (Persendirian), Tg.Malim. Selepas tamat pengajian di MPIK, beliau telah ditugaskan mengajar di SM Dato Bendahara CM Yusuf, Tg. Tualang (1982 – 1988), SMK Sungkai (1989 – 1992) dan SMK Methodist, Tg.Malim (1993 – 1994)) sebelum mendalami ilmu dalam bidang bacaan dan penulisan (Bapen – KPK) di Institut Bahasa, Kuala Lumpur. dan di Rancangan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1994 – 1998).
 

Perkhidmatan- genre penulisan Bahasa Melayu

Selepas menamatkan pengajian di UM, Chai Loon Guan telah ditempatkan mengajar di SMK Slim, Slim River sebelum kembali berkhidmat di sekolah lamanya, SMK Methodist, Tg.Malim mulai 2000 hingga kini sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu. Bagaikan sirih pulang ke gagang, ikan pulang ke lubuknya, kini beliau kembali aktif berkarya dalam pelbagai genre penulisan bahasa Melayu. Antara karya beliau ialah sajak, cerpen dan rencana bahasa dan sastera dalam Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.
             Sebenarnya, dunia penulisan Chai Loon Guan bermula sejak Tingkatan 3 (1975) apabila beliau secara konsisten mengasah pena dan menyumbangkan pendapat ke ruangan Forum Pelajar dan Cerpen Sains – Utusan Pelajar terbitan Utusan Melayu Sdn.Bhd. selain mencuba nasib berkarya dalam genre sajak dan cerpen di akhbar-akhbar tabloid seperti Watan, Bacaria, Buletin, Mingguan Wanita, dan Warta Perdana.
                  Daripada akhbar-akhbar tabloid, Chai Loon Guan mula mencuba nasib dalam surat-surat khabar dan majalah perdana tanah air seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Pelita Bahasa dan Dewan Bahasa sehinggalah beliau berjaya menggondol beberapa banyak anugerah peringkat negeri dan nasional seperti Hadiah Puisi MAYC Perak (1980). Hadiah Sajak Hari Guru Perak (1983 – 1990), Hadiah Sastera Utusan – Public Bank (1988, 1989, 1993 & 1995), Hadiah Sastera DBP – Maybank (1992 dan 1993) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 Karya Eceran Cerpen – Di Perantauan Impian.

Munsyi Dewan - sumbangan kepakaran
Sebagai Munsyi Dewan DBP, beliau pernah diberi kepercayaan untuk menjadi fasilitator sastera (genre sajak) dalam majlis-majlis kebahasaan dan kesusasteraan sama ada di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Antara lain, fasilitator Perkampungan Penulis Muda Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Resort Pangkor Holiday, Pangkor (2003), hakim Sayembara Puisi dan Lagu Negeri Perak Darul Ridzuan (2006 - 2010), fasilitator Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah-sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Resort Kolam Air Panas, Pengkalan Hulu (2007), editor Buku Laporan Tahunan Jabatan Pelajaran Perak 2008. 
                Jurulatih Utama Pasukan Ujian Bertulis SRJK(C) – SRJK(T) Negeri Perak ke Pertandingan Peringkat Kebangsaan 2008 - 2010, pembimbing Seminar Pengajaran Bahasa Melayu Guru-guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Negeri Perak 2008 di Hotel Grand Crystal, Alor Setar, Kedah Darul Aman, Jurulatih Utama Anugerah Tokoh Nilam Perak 2008 – 2009 di Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor, Perak pada 25 – 27 Mac 2009, pembentang kertas kerja sempena Latihan dalam Perkhidmatan untuk guru-guru SMK Methodist, Tg.Malim, Perak Darul Ridzuan pada 28 Mac 2009 dan penceramah tatabahasa dan susastera BM, Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Negeri Perak 2010 di Purnama Beach Resort, Pangkor pada 8 – 11 November 2010.
              Beliau juga pernah menghakimi Pertandingan Forum Remaja Daerah Batang Padang, Pertandingan Puisidra Sains Negeri Perak (2004 – 2006) dan Sayembara Deklamasi Sajak Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak. 
             Selain itu, beliau juga pernah aktif dalam kegiatan persatuan penulis yang tersohor di Perak, iaitu Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) sebagai Ahli Jawatankuasa  Induk dan diberi peluang untuk menyertai Festival Sastera Perpaduan - Kemerdekaan III (Gapena) di Hotel Promanande, Kota Kinabalu (2003) dan Festival Sastera Perpaduan – Kemerdekaan IV (Gapena) di Hotel Syuen, Ipoh (2004).
             Beliau juga salah seorang deklamator sajak sempena Malam Puisi Pasir Salak  (1993) bersama dengan mantan Menteri Besar Perak, YAB Tan Sri Ramli Ngah Talib, Malam Puisi Menara Condong Teluk Intan (1994), Temu Puisi III – Matic, Kuala Lumpur anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Pura Lingua Mekar Puisi IPSI 1995, Malam Puisi Damai II (Kosovo) – Merpati Putih, Lihatlah… (1999), Malam Seni Budaya Merdeka, Kampung Sawa, Slim River (1999), Pekan Seni Ipoh (1999), Perayaan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak (2000) di Ipoh bersama dengan Zurinah Hassan, Perayaan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2001 di Taiping bersama dengan Fauziah Nawi, Malam Gema Puisi bersama dengan SN Datuk Dr. A.Samad Said di Resort Safari Sg.Perak, Kuala Kangsar (2002) dan Kembara Sastera DBP-Institut Bahasa ( Zon Tengah ) di SMK Buyong Adil, Tapah, Perak (2003) serta “Konserto Malam Gempita Puisi” anjuran STeP - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak - Jabatan Alam Sekitar Perak di Auditorium Budaya Perak (2005) bersama dengan Kumpulan Kopratasa dan Pyan Habib dan terpilih untuk menghiasi ruangan sastera Karyawan Bulan Ini – Dewan Sastera 2007. 
                Beliau turut dilantik sebagai ahli panel Seminar Interlok anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perak Darul Ridzuan dengan kerjasama DBP Wilayah Utara pada 3 Mac 2011 dan ahli panel Wacana Bahasa Melayu anjuran DBP Wilayah Utara dengan kerjasama Persatuan Karyawan Perak dan Majlis Perbandaran Taiping pada 22 April 2011.

Karya eceran / antologi
 
Antara karya Chai Loon Guan yang telah diantologikan bersama adalah seperti Potret (1983), Jendela (1984), Lapar (1986), Kamar (1987), Pahlawan (1988), Rumah Pusaka (1989), Rahsia Hati (1990) terbitan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Surat Daripada Ana (1989), Mira Nabila (1989), Puyan Jelepek (1995), Sungai Kasih (1994) terbitan Utusan Melayu Publication, Di Dunia Permata (1993) terbitan Marwilis Publisher, Melodi Hidup (1989), Taman Bahasa Ibunda (1993), Di Pelabuhan Senja (1993), Menara V (1993), Menara VI (1995), & Antologi Sastera - Bacalah Dalam Bahasamu (2000) terbitan DBP.
                 Seterusnya, Temu Puisi III (1993) terbitan Kementerian Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia, Pelangi Keakraban (1997) terbitan Penerbit Fajar Bakti, Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu (1993), Rupa Kata (1996), Pasir Salak Sehamparan Sejarah Perjuangan (1997), Antologi Puisi & Sketsa KOSOVO (1999) terbitan Yayasan Perak & Yayasan Kesenian Perak, Sumpah Setia Bahasa (1999) terbitan Gapena – Rhythm Cons. Bhd., Permata Hati (1997) terbitan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Ridzuan I (1994), Menara Condong (1994), Danau Hati (2000), Suratan (2000), Khazanah Sastera Karyawan Pk (2002), Istana Kasih II (2007), Puisi Rao Nusantara (2009), Antologi Sajak – Timoh Tasik Kenangan (2010) terbitan Persatuan Karyawan Perak 
                  Antologi sajak perseorangan Di Padang Kehidupan (2008), Antologi Cerpen perseorangan – Di Perantauan Impian (2009) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
                  Beliau telah dianugerahi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002), Anugerah Khas Hari Guru Daerah Batang Padang (2007), Guru Cemerlang Bahasa Melayu (2008) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2009).
Talian :chaimestm@yahoo.com.my   Blog:   chaimestm.blogspot.com

Monday 9 May 2011

SABARIAH BAHARI

Oleh Nordin Hj Abdullah

Minat yang berputik secara suka-suka kebiasaannya membuahkan hasil yang membanggakan. Inilah yang dilalui oleh Sabariah Bahari ketika mula mendekati bidang penulisan.

Sebuah tulisan berbentuk curahan rasa yang tersiar dalam majalah Kisah Cinta pada tahun 1981 adalah langkah pertama Sabariah memunculkan diri sebagai sorang penulis. 

Kini Sabariah meneruskan minat penulisannya dengan lebih bersungguh dengan tekad untuk menjadi salah seorang penulis yang berjaya. Hasil kesungguhan itulah karya-karya Sabariah seperti puisi dan cerpen banyak tersiar dalam media seperti Mingguan Wanita, Bacaria, Jelita, Berita Minggu, Al-Islam, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Wanita, Keluarga, Nona dan Dewan Sastera.

Bagi seorang penulis seperti Sabariah yang dikira baru setahun jangung, kemunculan karya-karyanya di pelbagai media merupakan satu tuah yang jarang-jarang dinikmati oleh penulis muda seangkatannya. Bagaimanapun kemunculan karya-karyanya di media bukanlah dengan cara mudah.

Sabariah menghadapi berbagai kesukaran sebelum karyanya mendapat tempat tetapi kesukaran itu dihadapinya dengan tabah. Ketika menghasilkan cerpen atau puisi, Sabariah gemar menggarap sesuatu yang bertemakan kasih saying, kerinduan, keremajaan dan kemanusiaan sejagat.

Sabariah berumur lingkungan 30-an, lahir di Sungai Siput, Perak dan kini menetap di Ipoh. Selain sibuk dengan tugas harian, beliau rajin mengikuti aktiviti sastera di samping menjadi ahli Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan KEMUDI di Selangor.

Selain menulis puisi dan cerpen, Sabariah juga meneroka bidang penulisan novel dan kini sedang menyiapkan sebuah novel sulungnya. Matlamat Sabariah adalah untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman serta menjadi penulis yang berwibawa.- (Utusan Malaysia, 3 Disember 1994)

Sunday 8 May 2011

ROSMIATY SHAARI

Rosmiaty Shaari lahir pada 25 Mei 1961 di Teluk Intan, Perak, Malaysia. Mendapat pendidikan hingga memperolehi Sijil Tinggi Persekolahan. Mengikuti Pengajian Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia tahun 1983/84. 

Pernah menjadi Editor di Teks Publishing/Singamal Publishing (1985-1989), Editor di Marwilis Publisher (1990-1994), Free Lance Editor bagi Flo Enterprise, Penerbit Karyawan, Penerbit S. Abdul Majeed dan Penerbitan Murni hingga kini. Antara karya yang telah diterbitkan ialah antologi cerpen persendirian 'Malam Seribu Malam' (Teks Publishing,1988), antologi cerpen bersama 'Mannequin' (Kerajaan Negeri Selangor, 1986), kumpulan puisi bersama 'Temoh Tasik Kenangan' (Karyawan Perak, 2010), kumpulan puisi bersama 'Kampung Bandar Dalam' (2010), kumpulan puisi bersama 'KEMALA - Meditasi Dampak 70' (Insandi, 2011). 

Karya-karya beliau turut dimuatkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Pelajar, Jelita, akhbar Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Siasah, Horison Online, E-Sastera, Blog Penyair Nusantara dan lain-lain. Kini sedang menyiapkan kumpulan puisi/sketches bersama Azad (putera ke-2 beliau) berjudul ...dari hitamputih menjadi zarah.

ZABIDIN HJ ISMAIL

Anak kelahiran Kg. Batu Masjid, Temoh, Perak Darul Ridzuan adalah seorang penulis, penceramah penulisan, pembentang kertas kerja, penyelidik sastera / sejarah tempatan serta penggerak persuratan Melayu Perak di samping pengkaji masyarakat Melayu Rao.

Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku; antaranya Pasir Salak Bumi Pahlawan Melayu (1993-Yayasan Perak); Di Pelabuhan Senja (1993-DBP); Ridzuan 1 (1994), Menara Condong (1994); Mokhtar Dahari Wira Bolasepak Negara (1999-DBP); Memoir Dato’ Shaharudin Abdul Rahman; Heiho Jepun (2003); Batu Masjid Permata Kami Setelah Seabad Berlalu (2007-PIBG SK Bt Masjid, Temoh); Sekondakhati (2009); Puisi Rao Nusantara (2009); Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam (Universiti Malaya-2010); Imbasan Sejarah Karyawan Pk dan Kaedah Mokhdar: satu himpunan kenangan (2010),  Timoh Tasik Kenangan (2010) dan sudah menulis melebihi 30 tahun dan memenangi beberapa anugerah penulisan, termasuk Anugerah Sasterawan Perak dalam kategori Esei dan Kritikan pada tahun 2004 daripada Kerajaan Negeri Perak. 

Beliau menulis pelbagai genre termasuk puisi, cerpen, esei, memoir, biografi dan akademik. Pernah menjadi penulis udangan akhbar tabloid Bacaria terbitan Kumpulan Karangkraf dalam ruangan “Angin Dari Utara” (1986) dan ruangan “Tokoh Anak Perak” dalam akhbar rasmi Kerajaan Negeri Perak; Buletin Mesra (1996-2000) serta Pengarang buletin KemPen.My lidah rasmi Kementerian Penerangan Malaysia (2002-2005) dan Ketua Pengarang Lidah Rasmi Persatuan Jalinan Rao Malaysia (JARO) iaitu Rao Berandai.

Dalam arena penulisan, beliau banyak menggunakan nama pena. Antaranya, Biedyn Wan FH., S.I. Wanza, Zabinis BM., Zais Wahid, Burhanudin Al-Rawi, M Zaki Arif dan Jari Basurek.

Beliau turut aktif mengendalikan beberapa buah blog seperti Sekondakhati, TokohRao, PenulisPerak, KaryawanPk, Penyuluh916, JapenPk., Bukitgantang59 Panglima Awang.dan Kayacipta.

Di samping aktif menulis beliau adalah Presiden Persatuan Karyawan Perak [Karyawan Pk], Ahli Jawatankuasa JARO dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak , Yang DiPertua Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Penerangan Perak, Naib Yang DiPertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Murid Sekolah Kebangsaan Kg. Batu Masjid, Temoh (PENYULUH).

Kelayakan akademik – Diploma Pentadbiran Awam (UiTM); Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Komunikasi dan Sains Politik (UKM); Sarjana Sastera (UM) dan sedang menyiapkan tesis PhD di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dalam bidang pemikiran politik.

Pada tahun 2004 beliau menjadi tetamu khas Kerajaan Arab Saudi bagi mengerjakan haji serta mewakili Kementerian Penerangan Malaysia menyelaraskan liputan media antarabangsa musim haji di Jeddah, Madinah, Makkah, Arafah dan Mina.

Beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK-1996) dan darjah Ahli Mangku Perak (AMP-2008) oleh Sultan Perak serta darjah Ahli Mangku Negara (AMN-2008) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kini bertugas di Jabatan Penerangan Negeri Perak.

AHMAD BOESTAMAM

DATO’ AHMAD BOESTAMAM
Wartawan, Sasterawan dan Pejuang Kemerdekaan (1920-1983)
Oleh Zabidin Hj Ismail

Allahyarham Dato’ Haji Ahmad Boestamam, sasterawan dan pejuang kemerdekaan tanah air yang banyak menghabiskan hidupnya untuk bidang-bidang tersebut hingga meninggalkan nama yang harum di kalangan di kalangan rakyat negara ini.

Beliau merupakan putera besar tanah air dan tokoh kebangsaan yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara pada zaman penjajahan British dan turut mengisi kemerdekaan negara dengan buah fikiran kerakyatannya yang tersendiri.

Nama sebenarnya Abdullah Thani Raja Kechil dan dikenali juga dengan nama pena, Ruhi Hayat di bidang penulisan. Anak kelahiran kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak ini dilahirkan pada 30 November 1920. Nama Ahmad Boestamam lebih tersohor di arena politik tanah air sehingga menenggelamkan nama asalnya.

Beliau mendapat pendidikan awal sekolah Melayu di kampungnya setakat darjah lima dan pada tahun 1933 menyambung pelajaran di sekolah Inggeris iaitu Sekolah Anderson, Ipoh sehingga darjah tujuh.

Ketika di sekolah Anderson beliau gagal dalam peperiksaan “Junior Cambridge” tetapi berkat kegigihan dan usaha yang tidak mengenal erti putus asa, beliau menebus kegagalan itu dengan lulus QT (Ujian Kelayakan) diikuti OSC (Sijil Persekolahan Seberang Laut) dan Highest School Certificate (HSC) secara belajar sendiri antara tahun 1963-1967 di dalam penjara sewaktu ditahan oleh British di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Seterusnya beliau mempelajari ilmu undang-undang bagi memperolehi Ijazah Barrister at Law di Licoln’s Inn London, tetapi usaha ini patah di tengah jalan. Sebaliknya beliau lulus dan memperolehi diploma kewartawanan di Premier Journalist School di Kota Inggeris itu pada tahun 1969.

Penglibatannya dalam dunia penulisan dan kewartawanan mematikan cita-cita asalnya untuk menjadi pegawai polis. Beliau mula bergiat di bidang ini sejak tahun 1940an. Sebenarnya, Ahmad Boestamam mula berjinak dalam alam penulisan ketika berusia 15 tahun semasa menuntut di Sekolah Anderson dengan menulis rencana untuk akhbar Saudara yang diterbitkan di Pulau Pinang.

Beliau, pada peringkat awal pembabitan dalam kewartawanan, pernah bekerja dengan akhbar Saudara dan Warta Khas (1940). Sebagai sidang pengarang akhbar Saudara, beliau  dibayar gaji sebanyak RM15 sebulan. Kemudian bertugas pula dengan akhbar Majlis pimpinan Ibrahim Haji Yaakob (yang juga pemimpin Kesatuan Melayu Muda [KMM]) dan Abdul Rahim Kajai. Tokoh-tokoh ini bukan sahaja memimpin beliau di bidang penulisan dan kewartawanan malah membimbing beliau di arena politik.

Pada tahun 1941, beliau berjaya bekerja bersama-sama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan Utusan Melayu di Queen Street, Singapura ketika Abdul Rahim Kajai sebagai Ketua Pengarangnya. Apabila Ibrahim Yaakob membeli Warta Malaya beliau bekerja pula dengan akhbar berkenaan di samping menjadi Setiausaha Agung KMM.

Pada tahun itu juga beliau ditahan dibawah ISA dan dibebaskan pada 15 Februari 1942.

Sewaktu pemerintahan Jepun, Ahmad Boestamam bertugas dengan badan propaganda Jepun (Sesden Ka ) sebagai penapis cerita bangsawan Melayu. Beliau juga pernah menjadi sidang pengarang akhbar Warta Perak di bawah pimpinan Ahmad Noor Shukor di Ipoh.

Pada waktu yang sama beliau terbabit menubuhkan gerakan bawah tanah yang dikenali Gerakan kiri Tanah Air (KITA) bersama-sama Zulkifli Ownie, Haji Ramli Said dan Mokhtar Albakri yang ada hubungan dengan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Gerakan ini bersellindung disebalik nama Barisan Pemuda Melayu dan mengadakan latihan tentera ala Jepun, Barisan Pemuda Melayu digunakan untuk melindungi KITA.

Beliau terbabit juga dalam penubuhan KRIS ( Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung ) yang bercita-cita untuk membebaskan Tanah Melayu dari cengkaman British dan merdeka serentak dengan Indonesia pada tahun 1945 dengan menubuhkan sebuah negara kesatuan bernama Melayu Raya.

Setelah usaha ini gagal, dan semasa British berkuasa semula, Ahmad Boestamam bekerja pula dengan akhbar Suara Rakyat di Ipoh. Menerusi akhbar berkenaan, beliau menghentam Inggeris sekeras-kerasnya kerana menindas rakyat negeri ini. Lantaran itu, di pejabat akhbar tersebut, tercetuslah buah fikiran menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945.

Ahmad Boestaman dilantik sebagai ahli jawatankuasanya. Lima bulan kemudian beliau mengasaskan API ( Angkatan Pamuda Insaf) yang menjadi sayap pemuda PKMM dengan slogan perjuangan “Merdeka dengan Darah”. (Ada setengah rakan beliau memberitahu penulis bahawa API adalah singkatan daripada Angkatan Penghalau Inggeris).

Di samping itu, beliau berusaha pula menyatukan badan-badan berhaluan kiri dengan menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat). Beliau juga terbabit mengemukakan “Perlembagaan Rakyat” yang berasakan 10 prinsip rakyat kepada pemerintahan Inggeris. Perlembagaan itu digubal oleh MDU (Malayan Democratic Union) selepas dibincang bersama-sama oleh parti golongan kiri. Bagaimanapun, Inggeris tidak mengiktiraf perlembagaan tersebut sebaliknya menyediakan perlembagaan baru yang lebih progresif daripada gagasan Malayan Union.

Pada Julai 1948 apabila darurat diistiharkan, parti-parti politik kiri telah diharamkan oleh Inggeris termasuk API. Ramai pemimpinnya ditangkap dan ditahan di bawah ISA dan Ahmad Boestamam tidak terkacuali.

Beliau terpenjara sehingga bulan Julai, 1955. Ketika dalam tahanan beliau menulis beberapa buah cerpen dengan menggunakan nama pena Jiwalara.

Ahmad Boestamam dikenali sebagai tokoh politik yang keras hati dan gigih. Justeru, sebaik sahaja bebas dari tahanan, beliau masih sanggup menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) iaitu pada 1 November 1955. Sikap radikal dan menentang arus yang dimiliki oleh Boestamam telah menakutkan teraju pemerintahan negara dan beliau sekali lagi merengkuk di penjara di bawah ISA pada tahun 1963 hingga 1967.

Namun ada hikmahnya beliau terpenjara. Semasa tahanan ke-3 inilah, Boestamam mampu melahirkan novel “Merangkaklah Senja Menutup Pandangan” yang menggambarkan pahit-getir yang dirasainya di dalam penjara.

Allahyarham Dato’ Ahmad Boestamam tersohor sebagai pemidato yang disegani dan dianggap oleh rakan dan lawan sebagai agitator (pembakar semangat) yang berani. Dan dari mulut Allahyarham perkataan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Pertama kali diucapkan oleh seseorang yang berbangsa Melayu dalam usahanya membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah.

Justeru, beliau yang memiliki jiwa merdeka dengan semangat membara, pada tahun 1959, Allah swt telah mengizinkannya menduduki kerusi Parlimen Setapak, Selangor atas tiket Front Sosialis (cantuman PRM dan Parti Buruh) dengan mengalahkan calon Perikatan, Datin Paduka Aishah Ghani (Sekarang: Tan Sri).

Tetapi pada tahun 1974 beliau gagal merebut kerusi Parlimen di Perak atas tiket PEKEMAS dan meletakkan jawatan sebagai pengerusi parti itu pada 1 Ogos 1978. Namun demikian, beliau kembali ke arena politik dengan menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM) pada tahun 1980 sehingga akhir hayatnya.

Ahmad Boestamam dianggap sebagai pejuang dalam dunia politik. Namanya turut tercatat dalam buku-buku sejarah politik seperti Encyclopedia of World Politics karya Walter Theimer yang disunting dan disemak semula serta diperluaskan oleh Peter Campbell di halaman 278 di bawah tajuk “Malaya”.
Demikian juga Sasterawan Negara Dato Dr Usman Awang pernah mengungkap biografi Boestamam dalam bentuk puisi berikut :

“Selama lebih dari 5,745 hari telah direbahkannya dalam penjara” selama ribuan hari lagi dipikulnya dalam beban rasa dan kesulitan kehidupan bersama keluarga. Namun, tidak ada perkataan menyerah untuknya. Ahmad Boestaman-putera besar tanah air adalah contoh dari suatu kegigihan dan API yang dinyalakannya dulu, kini telah menjadi unggul sejarah yang tidak kunjung padam.
(Dewan Sastera, April1983)

Begitulah Boestamam yang meniti sejarah hidup yang panjang. Beliau menulis lebih dahulu dari Usman Awang, Shahnon Ahmad dan A Samad Ismail. Begitu juga penglibatannya dalam dunia politik tanah air, terlebih dulu dari Tunku Abdul Rahman , Tun Razak atau Tun Dr Ismail. Tetapi kegiatannya yang dulu-duluan itu hanya memberikan taraf kepadanya satu tokoh yang besar, namun dari segi pencapaiannya beliau belum juga berhasil menjadi Usman Awang, Shahnon Ahmad, A Samad Ismail, Tunku, Tun Razak atau Tun Dr. Ismail. - analisis Allahyarham Zakry Abadi tentang Ahmad Boestamam dalam Mastika dua dekad yang lalu.

Ahmad Boestamam sebenarnya menguasai tiga bidang yang diminatinya. Baik sebagai ahli politik, wartawan mahupun sasterawan. Sesungguhnya beliau memperlihatkan komitmen tinggi dalam perjuangan yang terlalu panjang dan penuh dengan cabaran serta dugaan. Beliau amat menyakini dan mempercayai konsep atau gagasan membela golongan marhean. Gagasan beliau jelas terpancar menerusi karya yang dihasilkan sama ada dalam genre puisi, drama, cerpen, esei, memoir, autobiografi mahupun novel.

Sebagai seorang sasterawan prolifik, Ahmad Boestamam telah menghasilkan sebanyak 33 judul buku.

Novel: Hilang Gelap Timbul Terang ( 1956), Hayati (1958), Kisah Semalam (1958), Pacar Merah Malaya (1959), Lorong Seribu Liku (1964), Merangkaklah Senja Menutup Pandangan (1964), Putus Sudah Kasih Sayang (1966), Garis Hitam membelah Langit (1966), Kembang Layu Di Tapak Tangan (1966), Api dan Air Mata (1967), Api Itu Masih Membara (1967), Konfrontasi (1967), Sorong Makan Tarik Balik (1967), Ali Sastro (1968), Budi Baik Dikenang Orang (1968), Malam Tiada Berbintang (1968) dan Rumah Kaca Digegar Gempa (1969).

Buku puisi : Dendang dari Neraka (1967);

Esei/Kritikan: Imej dan Cita-cita; Kertas Kerja Hari Sastera 80;

Memoir :Tujuh Tahun Malam Memanjang (1976), Memoir Seorang Penulis (1979);
Autobiografi: Merintis Jalan ke Puncak (1972),
Biografi : Dr. Burhanuddin : Putera Setia Melayu Raya (1972) dan Datuk Onn Yang Saya Kenal (1979)
Buku Umum: Bagaimana menjadi Seorang Penulis (1979) dan Sorotan Sekilas Malay Delima (1981).

Beliau juga pernah menterjemah beberapa buah buku luar negara seperti Pemberontak di Lembah Nil, Politik Afro Asia, Nasionalisme Melayu karya Prof. William R. Roff dari bukunya “ The Origine of Malay Nationalism”.

Sesungguhnya, bidang politik dan penulisan telah mendarah daging dalam jiwanya yang tabah, keras hati dan tekun itu. Kata Sasterawan Negara Allahyarham Keris Mas pula ; “Darah senimanlah yang menjadikan Boestamam seorang pemimpin yang perasa dan juga yang menjadikan dia tidak menundukkan kepala atau mengalah dalam perjuangan untuk bangsa dan tanah air walaupun dia sedar perjuangannya sudah berlalu”. (Dewan Masyarakat, Februari 1983)

Anak Perak ini telah dianugerahkan bintang Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato’ oleh yang Dipertua Negeri Sarawak pada 12 Ogos 1976 dan telah kembali ke alam barzakh menemui Tuhan pada tanggal 19 Januari 1983 di Kuala Lumpur.


Rujukan :

Wajah Biografi Penulis. K.L:DBP
Ramlah Adam (1994) Ahmad Boestamam : Satu Biografi Politik. KL:DBP
Ahmad Boestamam (1979), Memoir Seorang Penulis. KL: DBP
Ahmad Boestamam (1976) Tujuh Tahun Malam Memanjang; KL: Amir Enterprise
Zabidin Hj. Ismail (2010). Pemikiran Politik dalam Novel-novel Ahmad Boestamam. KL: Universiti Malaya Press

WIJAYA MALA


Novelis Perak Darul Ridzuan (1923-1980)
oleh Zabidin Hj Ismail

Sesudah Jepun menyerah kalah, semenanjung Tanah Melayu mula dilanda perubahan mendadak. Selain memuncaknya semangat kebangsaan di kalangan nasionalis dan rakyat Malaya, tetapi juga suasana  perubahan itu turut melebar ke arena persuratan Melayu yang dikesani sebagai pemangkin kepada  penyemarakan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada genggaman penjajah Inggeris.
            Menyelusuri rentetan perjuangan politik yang panjang itu, sejarah telah melakarkan peranan badan-badan sastera sebagai penyumbang saham yang bukan sedikit ke arah memerdekakan negara ini. Pembabitan badan tersebut ke kancah perjuangan politik kerana pendukung-pendukungnya terdiri dari pemimpin-pemimpin politik dan wartawan yang menggunakan dua bentuk komunikasi sekaligus iaitu lisan dan tulisan dalam wadah perjuangan mereka.
            Justeru itu, pergerakan Angkatan Sasterawan  atau lebih tersohor sebagai ASAS 50 telah mencatatkan pembabitan seorang pengarang anak Perak yang berhijrah ke Kota Singa (Singapura) semata-mata untuk menerjuni kancah persuaratan Melayu di bawah payung ASAS 50 di samping membabitkan diri dalam pergerakan nasionalisme Melayu.
            Beliau ialah Wijaya Mala. Nama sebenarnya Abu Yazid Abidin dan dilahirkan pada tanggal 27 Oktober 1923 di Bota Kiri, Parit, Perak. Dia memulakan pendidikan dasar di sekolah Melayu pada tahun 1931 manakala pada sebelah petang mengaji agama di sebuah sekolah rakyat di kampung kelahirannya. Pada tahun 1936, Wijaya Mala lulus darjah V sekolah Melayu dan darjah IV sekolah agama. Kemudian berbekalkan kelulusan tersebut, dia menyambung pendidikannya di sekolah Arab Idrisah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar (1937-1941) sehingga lulus darjah VI.

Peniaga Getah


Sewaktu Jepun menjajah Tanah Melayu, dia berkesempatan belajar di Sekolah Latihan Pemuda di Ipoh selama enam bulan. Tidak berapa lama setelah Jepun kecundang di tangan British, dia memasuki alam perniagaan sebagai peniaga getah di Bota Kiri (1947-1949). Tetapi, atas desakan jiwa merdeka, dia memberanikan diri berhijrah ke Singapura.
            Di Kota Singa ini dia bertugas di Royal Electrical Mechanical Engineers (REME) sebagai penyelenggara stor selama lima tahun. Kemudian Wijaya Mala bekerja pula sebagai pembaca pruf Melayu Raya selama tiga bulan sebelum dilantik sebagai pemberita dan penyunting. Di samping itu, dia juga berpeluang menuntut ilmu di City Commercial College mulai tahun 1951 hingga 1953 di samping pernah bertugas sebagai kerani di Malay Seamen Union sekaligus bekerja bagi pihak Kesatuan Pegawai Perkapalan Singapura.
            Apabila Balai Pustaka (Dewan Bahasa dan Pustaka) ditubuhkan di Johor Bahru, Wijaya Mala diterima bertugas sebagai penyiasat luar. Kemudian DBP berpindah ke Kuala lumpur, dia ikut serta dan pada tahun 1960 Wijaya Mala dinaikkan pangkat sebagai penyunting dan pegawai penyelidik (1968 hingga November 1978) di Bahagian Perkembangan Sastera, kemudian ditukarkan ke Bahagian Penerbitan Umum sehingga bersara wajib. Semasa berkhidmat di DBP, dia pernah mengikuti kursus di International Students Institute (ISI) Tokyo, Jepun dari tahun 1967 hingga 1968.

            Penglibatan Wijaya Mala sebagai penulis bermula dengan kelahiran sajaknya “Jasa Tak Hilang” tersiar dalam Majlis, terbitan 4 Oktober 1946. Pembabitan awalnya cenderong menulis sajak, tetapi kemudian beralih ke penulisan cerpen dan novel.
            Bakatnya dalam penulisan genre cerpen dan novel cukup terserlah. Wijaya Mala telah melahirkan 123 cerpen yang pernah tersiar dalam akhbar dan majalah terkenal tanah air. Pada sekitar 1950-an dan awal 1960-an dia  memenangi pelbagai anugerah dan hadiah. Antaranya peraduan mengarang anjuran Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dan “Kawan Lama Berpisah” dipilih sebagai cerpen terbaik di samping mengondol hadiah RM100 oleh akhbar Berita harian sebagai karya yang pertama menjadi pilihan akhbar tersebut.

Pengarang yang menulis sehingga akhir hayat

 Sebagai seorang pengarang dia menulis dalam banyak bidang. Dia berkebolehan menulis cerpen dan esei tetapi lebih menonjol dalam penulisan novel. Gaya penulisan novelnya digarap secara sederhana dan memikat pembaca. Kegigihan, keyakinan dan sikapnya yang tidak mengenal erti jemu dalam menghasilkan karya telah meletakkan dirinya sebagai satu-satunya pengarang yang menulis sehingga ke akhir hayat.
            Berbeza dengan rakan seangkatan yang tergolong dalam penulis ASAS  50, Wijaya Mala tidak pernah “bersara” dari menulis sebaliknya penanya tidak pernah kekeringan dakwat. Hasil dari pengamatan dan ilmu yang dipelajarinya, Wijaya Mala berjaya mengungkapkan kembali setiap peristiwa yang dialaminya dengan menterjemah ke dalam karya terutama genre novel.
            Membaca novel-novelnya, kita diutarakan dengan persoalan-persoalan masyarakat, perubahan fikiran dan sikap melalui watak yang diciptanya. Umpamanya, melalui “aku” dalam novel “Mata di Jendela”, Wijaya Mala merakamkan penglihatannya sewaktu menempuh zaman persekolahan hingga ke zaman pra-kemerdekaan negara. Pandangannya terhadap pergolakan politik dan isu semasa ketika itu sekaligus mendedahkan kita betapa Wijaya Mala juga sebenarnya seorang pejuang kemerdekaan menerusi cara dan gaya tersendiri.  
       Namun begitu, tidak semua novelnya merakam pengalaman yang pernah dilaluinya. “Sejuk-sejuk Tokyo” nyata sekali tidak menyentuh pengalaman sewaktu menuntut di Tokyo. Sebaliknya dia mengungkapkan peristiwa-peristiwa bermakna yang berlaku di negara matahari terbit itu. Kelancaran dan peristiwa mengesankan yang beliau ungkap dalam Sejuk-sejuk Tokyo kerana dia sendiri rasa “berada” dalam masyarakat Jepun dengan bahasa pertuturan yang difahaminya. Kelicikannya “menyerap” masuk ke dalam masyarakat tersebut dilihat sebagai kebolehan peribadi yang jarang-jarang benar dapat dilakukan oleh kebanyakan orang ketika berada di perantauan.
            Dua buah karya yang dijadikan contoh itu, jelas menggambarkan kemampuan Wijaya Mala menggarap peristiwa yang berlainan latar, masa, suasana dan budaya. Kecekapannya mengutip peristiwa dan pengalaman serta menterjemahkan dalam genre novel, di samping tidak jemu-jemu melahirkan tujuh buah karya sepanjang hayatnya telah “meletakkan” beliau sebagai novelis mapan tanah air kebanggaan negeri ini dari kalangan novelis-novelis terkemuka kelahiran Perak seperti gemulah Ahmad Boestamam, A Talib Hassan, Hasan Ali, Ahmad Mahmud, Malim Ghozali Pk dan Baharudin Kahar (sekadar menyebut bebarapa nama).
            Wijaya Mala seorang insan yang sederhana, tenang dan lembut tetapi cukup mudah berjenaka dengan rakan-rakan. Barangkali kerana sikap dan sifat yang dimiliki ini, dia tidak pernah menghumbankan dirinya ke kancah polemik berjela-jela dan berpanjangan iaitu “Seni untuk Masyarakat” dan “Seni untuk Seni” yang tercetus semasa beliau berteduh di bawah bumbung ASAS 50. Dia tidak memihak ke mana-mana gagasan tersebut, sebaliknya Wijaya Mala mengambil jalan tengah dengan menulis dan terus menulis tanpa menghiraukan perang dingin yang melanda badan sastera itu.

 

Petua          


Justeru itu, dalam sejarah kesusasteraan Melayu tanah air, Wijaya Mala tergolong sebagai penulis daripada golongan ASAS 50 tetapi kehadirannya dalam badan sastera itu dikenali sebagai penulis yang “merancakkan pena” bukan sebagai peneraju organisasi. Dia sebenarnya tidak cergas dalam berorganisasi. Namun dia adalah contoh seorang penulis prolifik. Baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, petuanya begini:

               “Untuk berjaya menghasilkan karya-karya yang baik dan bernilai, kesungguhan   dan ketelitian adalah faktor penting.” (Wajah Biografi Penulis, DBP: 1981 :631)

            Demikian Wijaya Mala dengan segala sifat dan sikap yang dimiliki terus-menerus menggerakkan pena sehingga melahirkan banyak karya yang kini menjadi khazanah berharga. Antara cerpennya yang dibukukan ialah Aku di Sebuah Pulau dan lain-lain (antologi bersama – 1957), Dua Zaman (antologi bersama – 1963), Di Laut dan Darat (1980), Tinta Pena (antologi bersama-1981), Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama-1985).
            Manakala novel-novelnya yang diterbitkan ialah Muda Tak Sudah (1948), Saka Kampung Gergasi (1950), Mata Intan (1957), Sisa Laut (1964), Cinta Orang Tua  (1967), Sejuk-sejuk Tokyo (1973) dan Mata di Jendela (1977).
            Di samping menghasilkan karya sastera, Wijaya Mala berhasil pula menulis buku umum seperti Cerita-cerita dari Abdullah Munshi 1776-1854 (1967), Bendahara Garang (1973) dan Kebangkitan Semula Jepun (1979).
            Wijaya Mala novelis Perak ini berhenti menulis setelah nyawa bercerai dari badan. Buktinya, setelah bersara dari DBP pada tahun 1978, dia masih menulis cerpen dan tersiar di dalam majalah Dewan Masyarakat dan Akhbar Mingguan Malaysia. Di waktu yang sama juga, dia menulis kisah perjalanan (Catatan Perjalanan Ke Tanah Suci) di dalam majalah Dewan Siswa. Tetapi malangnya, karya itu sempat menemui pembaca sebanyak dua siri sahaja (siri terakhir keluaran Mei 1980) kerana Wijaya Mala dipanggil mengadap Ilahi pada 8 Mei 1980 akibat serangan jantung.
            Kepulanganya ke sisi Allah s.w.t bererti dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang sasterawan yang tersohor sebagai karyawan yang gigih, yakin diri dan memiliki sikap gemar menulis hingga ke akhir hayat. Malahan negeri Perak pula menangisi kepulangan ini sebagai suatu kehilangan seorang novelis anak negeri yang sukar dicari ganti.

Rujukan:
”Wijaya Mala: Pengarang yang Punya Prinsip Sendiri”, Mastika, Jun 1973, hlm.14-20
"Wijaya Mala Sebagai Sasterawan, Penanya Terus Tajam Meskipun Selepas Bersara,” Dewan Siswa, Mei 1979,hlm.20-21
”Mengenang Wijaya Mala”, Dewan Sastera, Mei 1980, hlm. 60
Wajah Biografi Penulis, 1981. Kuala Lumpur: DBP
Yahaya Ismail, 1976. Sejarah Sastera Melayu Moden. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

A.R KAMALUDIN


Wartawan Legenda dari Lumut
oleh Zabidin Hj Ismail

Pertama kali saya mengenali AR Kamaludin ketika berbual menerusi telefon sekitar awal bulan Mac 1993.  Saya menghubungi beliau bersebab iaitu untuk mengundangnya berceramah mengenai penulisan dalam Majlis Gebang sastera 1 di Kampung Telaga Nanas, Sitiawan, Perak yang dianjurkan oleh Persatuan karyawan Perak (Karyawan Pk.).  Ketika itu beliau bertugas sebagai Ketua Unit Sastera dan Budaya di Berita Harian Sdn Bhd Kuala Lumpur.

Meskipun tidak pernah bersua muka sebelum ini, tetapi beliau ramah menerima pelawaan saya.  Kemudian perkenalan kami melebar sehingga bertemu lagi sewaktu Hari Sastera ’93 yang berlangsung di Shah Alam, Selangor pada 4-7 Jun 1993.  Detik sulung bersua muka inilah yang menyematkan tanggapan saya terhadap beliau sebagai seorang yang bersifat ramah tetapi tegas dan kritis.

Nama asalnya bukanlah AR Kamaludin, tetapi nama inilah yang mengangkat dirinya sebagai wartawan tersohor dan pengarang terkenal.  Walaupun beliau banyak menggunakan nama samaran dalam dunia kewartawanan dan penulisan seperti Afida Norham, Anak Desa Perak, Annuar  Hisham, Arkam Noor, Belia Perak, Dian Merah, Joe Martino, Noor kamal, Penuntut Mei dan Zaini Kamal tetapi nama AR Kamaludin serasi dengan kerjayanya.  “AR” berpunca daripada nama bapanya, Abdul Razak dan nama sebenarnya, Kamaludian – Kamaludin bin Abdul Razak.

Anak kelahiran Kampung Baharu, Lumut, Perak ini diputerakan pada 15 November 1938.  Memperolehi pendidikan dasar di sekolah Melayu di kampungnya hingga lulus darjah tiga.  Sesudah itu, beliau meneruskan pelajaran di Anglo Chinese School, Sitiawan hingga tingkatan tiga.  Kemudian beliau meninggalkan bangku persekolahan dan merantau pula ke Seberang Perai.  Di situ, beliau bekerja sebagai Pemungut Jentik-jentik sehingga dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Anti-Malaria pada tahun 1958.

Berkat belajar sendiri, beliau lulus Sijil Persekolahan pada tahun 1966 dan diterima bekerja sebagai Pegawai Pertanian Muda di Jabatan Pertanian serta di beberapa tempat termasuk di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarang Bintang Timur


AR Kamaludin mula berjinak dengan dunia penulisan pada tahun 1953 dengan menulis berita untuk Utusan Kanak-kanak.  Seterusnya, pada akhir tahun 50an dan awal 60an, beliau giat menulis esei politik tanah air dan luar negara terutama sewaktu bekerja di Syarikat Utusan Melayu sebagai Penolong Penyunting.

Sekitar tahun 70an pula, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarang Bintang Timur yang berpangkalan di Pulau Pinang (akhbar tabloid yang pasarannya tertumpu di kawasan utara Semenanjung Malaysia terbitan Utusan Melayu).  Tetapi, pada 1 april 1978 beliau berpindah semuLa ke Utusan Melayu di Kuala Lumpur.

Disamping terbabit sepenuh masa dalam dunia kewartawan yang sentiasa dalam dunia kewartawanan yang sentiasa sibuk mengejar bahan, maklumat, fakta serta mengelolakan beberapa ruangan dalam akhbar yang diulitinya, namun dalam kesibukan itu, AR Kamaludian sempat juga menghasilkan karya sastera terutama genre novel.

Kemampuan beliau menulis novel membuktikan bakat seni yang dipupuk di dalam dirinya berupaya melahirkan bentuk penulisan yang berunsurkan estetika.  Sesungguhnya, tidak ramai wartawan yang mampu melahirkan karya sastera kerana mereka telah diasuh dan sebati dengan budaya mengutamakan fakta serta realiti dalam penulisan.  Gaya penulisan kewartawanan amat jauh berbeza dengan corak penulisan sastera yang lebih menekankan fantasi atau imaginasi walaupun ia digarap kadangkala berdasarkan cerita benar.  Tetapi, AR Kamaludin mampu melakukannya.  Kebolehan anugerah Allah s.w.t. itu telah dipergunakan sebaik mungkin oleh AR Kamaludin yang sekaligus menempatkan namanya dalam senarai novelis tanah air era  60an.

Pembabitannya dalam karya kreatif begitu ketara pada sekitar tahun 60an dengan penulisan pelbagai genre seperti sajak, drama radio, esei sastera, cerpen dan novel.  Novel sulungnya, “Punah” ditulis pada tahun 1967.  Kemudian diikuti pula “Terkopak di mana-mana” (1967) dan “Tuhan Tak Sayang Padaku Lagi” (1968) manakala novel kanak-kanaknya berjudul “Lari Dari Maut” (1967).

Di samping itu, beberapa buah cerpennya telah dibukukan dalam antologi bersama seperti 10 cerpen Masyarakat II (1963)  dan Intan Terpilih (1966).  Drama pula diterbitkan dengan judul “Yang Tiada Syurga” pada tahun 1966.  Bagaimanapun, sumbangan beliau dalam genre sajak tidak begitu menonjol walaupun puisinya pernah tersiar di akhbar-akhbar tempatan.

Pejuang Pena yang Gugur di Medan Kewartawanan    


Kebanyakan tema karya yang dihasilkannya berlegar mengenai isu pembangunan, perpaduan dan kesengsaraan masyarakat khususnya golongan nelayan dan petani.  Beliau mengetengahkan isu kotemporari ini untuk perhatian masyarakat dan pihak tertentu  supaya ianya diberi perhatian sewajarnya.

Tambahan  pula isu berkenaan menjadi topik hangat sekitar tahun 60an yang beliau sendiri terbabit sekurang-kurangnya mendapat berita-berita mengenainya yang saban hari disunting dan kemudiannya disiarkan dalam akhbar.  AR Kamaludin berjaya  mengangkat isu tersebut untuk diterjemah ke dalam karya sastera.

Namun begitu, cintanya terhadap dunia kewartawanan begitu menebal mengatasi dunia sastera.  Kecintaan ini diperlihatkannya apabila beliau menghabiskan hampir tujuh puluh lima peratus  usianya menguliti dunia persuratkhabaran tanah air.  Sekian banyak syarikat akhbar yang pernah menerima khidmat beliau.  Dari Utusan Melayu, Warta Negara (Bintang Timur), Harian Nasional, Berita Harian dan berakhir di Warta Perdana dan Syarikat Khairune Sdn. Bhd.  (MKSB) – selaku Ketua Pengarang yang turut menangani pelbagai penerbitan majalah bulanan seperti Cermin, Wawancara dan Ibu Bapa.

Justeru itu, ada teman-teman wartawan menganggap beliau sebagai seorang pejuang pena yang gugur di medan  kewartawanan.  Beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan dan berakhir juga sebagai wartawan.  Prinsip hidupnya berpegang teguh kepada kerjaya kewartawanan.  Beliau tidak mahu memilih kerjaya lain selain wartawan meskipun peluang untuk beralih angin ke bidang lain umpamanya sebagai usahawan terbuka luas.

Lantaran itu, bekas Ketua Pengarah kumpulan Utusan Melayu, Dato’ Mazlan Nordin menyifatkan AR Kamaludian sebagai wartawan tulen yang banyak menaburkan jasa.  Menurutnya, AR Kamaludin seorang yang berjasa dalam bidang kewartawanan kerana selain dapat membimbing orang lain menjadi wartawan, beliau juga menurunkan bakatnya kepada empat anaknya menjadi wartawan (Mingguan Perdana, 14 Mei 2000 Hlm.3).

Kenyataan Dato’ Mazlan itu diakui oleh Prof. Madya Dr Baharudin Ahmad, tenaga pengajar ISTAC yang menyatakan AR Kamaludin adalah gurunya dalam bidang kewartawanan semasa di akhbar Bintang Timur.
 “Terus-terang saya katakan, AR Kamaludin seorang yang baik dan murah hati.  Dia murah hati kepada staf, tidak kedekut wang ringgit mahupun pengetahuan.  Hinggalah saya graduate, dia masih membantu saya.  “(ibid).

Wartawan Lagenda


Ramai lagi yang pernah menerima tunjuk ajar di bidang kewartawanan daripada AR Kamaludin.  Maka, tidak menghairankan di kalangan wartawan muda yang pernah “berguru” dengannya menganggap AR Kamaludian sebagai wartawan lagenda yang sukar dicari ganti.  Gelaran itu menepati dengan unsur-unsur keunikan yang dimiliki oleh AR Kamaludin sendiri selain menjadi wartawan sehingga ke akhir hayatnya.

AR Kamaludian memiliki kebolehan yang pelbagai.  Beliau mampu menyanyi dan pernah memenangi Juara Bintang Radio bahagian lagu-lagu asli sekitar tahun 70an.  Malah beliau juga pernah dikenali ramai sebagai penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) semasa menjadi Pengarang di Utusan Melayu.

Kepetahannya berdebat juga telah membawa AR Kamaludian merenangi dunia politik partisan meskipun masih bergiat cergas dalam arena penulisan.  Ini terbukti apabila beliau berjaya menempatkan diri sebagai Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia semasa di bawah kepimpinan Dato’ Suhaimi Haji Kamarudin sekitar awal tahun 80an.  Beliau yang ketika itu begitu lantang dan berani berhujah termasuk pernah berdebat dengan bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang semata-mata mempertahankan prinsip yang didukung oleh Pemuda UMNO mengenai sesuatu isu.

Pembabitan dalam politik partisan ini telah melebarkan kerjayanya dari seorang wartawan kepada Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Sabah, Datuk Haris Salleh.  Perlantikan ini berdasarkan kearifannya mengenai seuasana politik Sabah dalam era 80an.  Sebab itulah, walaupun terpisah dengan hiruk-pikuk mesin taip di syarikat akhbar, beliau masih tidak berhenti menulis.  Ketika menjadi Setiausaha akhbar, beliau banyak menyumbangkan artikel mengenai politik semasa ke akhbar Sabah Times dan Daily Express di Kota Kinabalu.

Kehidupan AR Kamaludin rencam, sesuai dengan kebolehannya yang pelbagai.  Selain dikenali sebagai penulis politik yang kritis, AR Kamaludian juga membabitkan diri dengan kepimpinan organisasi sastera.  Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa PENA dan Ketua Dua GAPENA untuk penggal 1977-1978, sebuah organisasi besar bertaraf nasional.  Pelantikan sebagai Ketua Dua itu membuktikan bahawa beliau juga merupakan aktivis sastera yang dihormati.

Namun segala-galanya sudah berakhir.  Pada tanggal 29 April 2000 jam 8.45 pagi, AR Kamaludin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat mengalami penyakit ceriosis hati ketika berusia 61 tahun.  Pergilah seorang wartawan legenda yang telah banyak menabur bakti untuk ibu pertiwi.  Buat beberapa tahun mendatang  terlalu payah untuk kita mencari penggantinya! 

Rujukan:

Eksaiklopedia Malaysiana (Jld.6) Shah Alam : Anzagain Sdn.Bhd. hlm.342 Wajah Biografi Penulis (Edisi Ke-2) 1988. KL:DBP hlm.57-59 
Zakry Abadi 1989. Gapena antara politik & sastera, KL: Penerbitan Keramat Sdn.Bhd 
Tokoh Wartawan Veteran AR Kamaludin meninggal, Mingguan Malaysia 30 April 2000 hlm.12 
AR Kamaludin, wartawan legenda sukar dicari ganti, Mingguan Perdana. 14 Mei 2000 hlm.3 Huzz- Terima kasih daripada keluarga arwah (Pancaindera) Mingguan Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...