Saturday 31 December 2011

TABIR ALAM


TabirAlam 

TabirAlam, nama pena yang tercetus dari keindahan Aurora Borealis (cahaya di ufuk Utara).  Nama sebenarnya Abdullah Abdul Rahman dilahirkan tanpa saudara kandung pada 12 September 1953 di Ipoh, Perak.  Bertugas di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hingga bersara. 

Mendapat pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan Jalan Connolly, Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Rokam, Sekolah Menengah Anderson, Universiti Utara Malaysia dan Open University Malaysia.

Mula aktif dalam bidang kesenian dengan Badan Budaya Perak di bawah kelolaan allahyarham Onie Moraza (1979-85).  Sebagai artis budaya bersama Kumpulan Selendang Perak (1985-87) melansungkan persembahan sempena pertabalan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, dan anugerahkan Pingat Peringatan (1985).

Memimpin kumpulan kebudayaan Bougainvillea MBI (1990-93), mewakili Perak ke Fukuoka Asia Week 1992, Jepun. Menyertai Nanning International Folks Arts 2007 di Nanning, China.  Selain itu mewakili Perak ke Beijing International Quality Control Circle Convention (1997) di Beijing, China.

Menulis artikel bahasa Inggeris untuk majalah ‘Buletin MBI’ berkaitan produk pelancongan di bandaraya Ipoh; Kam Batik (8/2003), Gerbang Malam (8/2003), Buntong Waterfall (9/2003), Saloma Cafe (9/2003), Mee Rebus Ramli (10/2003), Ipoh Memory Lane (10/2003), Tambun Cave’s Rock Paintings (11/2003), Nam Heong White Coffee Restaurant (11/2003), TKN Fishing Pond (12/2003), Geological Museum (2/2004), Ulu Chepor Waterfall (2/2004). Limau Tambun - Pomelo (3/2004),

Artikel bahasa Inggeris dalam majalah ‘Berita MBI’: Second World War Air Raid Shelters (2/2003), Ipoh Tree (2/2004), Ipoh – Interesting to visit (2/2004), dan Ipoh Bean Sprouts (4/2004).

Menjadi ahli bersekutu dengan ‘Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Bandaraya Ipoh’ (PINTAR) sejak 2007 hingga kini. 

Mula aktif sebagai e-sasterawan pada tahun 2005 dibawah kelolaan Dr. Ir.  Wan Abu Bakar Wan Abas (sdr Drirwan) selaku pengasas e-sastera.com.  Pernah menghasilkan karya-karya dalam genre pantun, sajak, sajak jenaka (sajen), puisi tradisional seperti syair, seloka, gurindam, nazam, teromba dan lain-lain. 

Sepanjang kegiatan dengan e-sastera, sebuah buku telah dihasilkan – “Antologi Haiku 2006” bersama dua orang penulis; sdr Lelahiro, dan sdr Dipinggiran.  Dilantik administrator komuniti Teka-Teki pada 2007.  Kini dalam rangkaan menghasilkan buku kedua “Himpunan Teka-Teki Pantun”.


Hasil karya-karya pernah disiarkan, antara lain - dalam majalah Dewan Agama dan Falsafah (DBP), Dewan Sastera (DBP), Jendela Utara (DBP), Pelita Bahsa (DBP), Jelita, Keluarga Harmoni, Warisan, dan Sastera.net.  Selain di akhbar Berita Harian, ada juga yang disiarkan di stesen radio tempatan; Radio 3 Ipoh.Fm, Sinar.Fm, dan Klasik Nasional.  

Antara penganjur lain, Angkatan sasterawan Nasional kedah (ASASI), Kraftangan Malaysia, serta berkarya secara online berpantun dalam bahasa Inggeris di peosite.com yang berpengkalan di Amerika Syarikat, boleh dilayar di lamanweb: www.peosite.com/pantun
 
Senarai Artikel:

            Pacific Friend – Pacific friends, Japan. (August 1978)
            That’s no way to present a superstar – The Star. (5 Jun, 1984)
            Excursion to Tambun Hot Springs – Tourism Scope, Korea. (Vol. 1/2005)
            Limau Tambun (Pomelo) – Tourism Scope, Korea. (Vol. 1/2005)
            Foreign Independent Travelers – Tourism Scope, Korea. (Vol. 4/2006)

Hadiah e-Sastera.com (Hescom) e-Sastera:
           
Hescom 2005
            Jalur Gemilang (pantun sms) karya kemerdekaan
Hescom 2006
            Emas Hitam (sajak) Sayembara Sajak Harga Petrol Naik – pertama
            Ratcha Anachak Thai (sajak) Sayembara Sajak Thailand – setara
            Mikraj (haiku) Anugerah Haiku Melayu Alam Siber – pertama
Hescom 2007
            50 Tahun Merdeka (syair) – Sayembara Puisi Tradisional – ketiga
            British (haiku) – Anugerah Haiku Melayu Alam Siber – kedua
Hescom 2008
            Ramadhan (teromba) – Sayembara Puisi Tradisional – pertama
            Maulidur Rasul (syair) – Sayembara Puisi Tradisional – kedua
Hescom 2009
            Patriotisme (pantun) Sayembara Pantun Merdeka – kedua
            Ramadhan al-Mubarak (qasidah) Sayembara Ramadhan – pertama
Hescom 2011
            Mawar Berduri (soneta) – Anugerah Soneta Melayu Alam Siber
            Bekalan Hidup (pantun) – Sayembara Jual Beli Pantun – pertama
            Majlis Perkahwinan (syair) – Sayembara Perkhawinan – pertama 


Thursday 29 December 2011

PENA MUTIARA


Oleh Raja Yusof Ariffin

Pena Mutiara yang lahir pada 10 Julai 1952 menulis cerpen, puisi, skrip drama radio dan rencana. Beliau juga salah seorang tenaga penting dalam penubuhan sebuah persatuan penulis di daerah Krian pada 1972 dengan nama ringkasnya, PERENTAS yang masih aktif. 
Berkelulusan Malaysia Certificate Education pada 1969, nama sebenar Pena Mutiara ialah Ahmad Sabki Haji Tahir. Kini beliau bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan. Banyak karya Pena Mutiara yang telah tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah terkenal tanah air serta dibukukan. 
Antara bukunya ialah kumpulan cerpen Cinta Seorang Seniman (1984), Perginya Seorang Seniman (1989), Dunia Seniman (1991) dan Mangsa (2000). Kumpulan puisinya pula ialah Bunga Desa (1995) dan Perempuan (2000). 
Karyanya juga dimuatkan dalam antologi Kehadiran Yang Dilupakan (1989), Surat Dari Kuala Lumpur (1990), Tina dan Lambaian Nusa (1991), Suara, Fenomena dan Hantaran (1992), Di Pelabuhan Senja (1993), Sembilu Pengorbanan dan Tanah Dusun (1994) serta Anak-Anak Suria (1997). 
Setakat ini, Pena Mutiara telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1989, 1990, 1991 dan 1993). Beliau juga diberikan Anugerah Penyair Perak pada 1995. Pada 2003, Paduka Seri Sultan Perak menganugerahi beliau Pingat Jasa Kebaktian (PJK). 
Pena Mutiara mula menulis pada akhir 60-an. Mungkin faktor beliau terus berkarya ialah prinsipnya dalam dunia penulisan, iaitu menganggap menulis sebagai amanah Allah. 
Menurut Pena Mutiara, beliau bersyukur kerana dianugerahi Allah bakat menulis. Beliau telah memanfaatkan sebaik mungkin bakat tersebut dengan menjadikan bidang penulisan sebagai wadah untuk mendidik bangsa dan membina negara. 
"Sibuk menyempurnakan kerja hakiki tidak harus dijadikan batasan untuk seseorang penulis berkarya. Saya juga sibuk dengan tugas harian di pejabat. Tapi, masih ada masa untuk menulis,” tegasnya yang telah menunaikan ibadat haji pada 2005. Beliau menganggap peranan penulis pada zaman sains dan teknologi maklumat hari ini amat berat serta mencabar berbanding masa lalu. 
"Penulis hari ini bukan saja perlu menggunakan kemudahan teknologi maklumat dengan sebaik mungkin, malah menjadikan bidang penulisan sebagai wadah berdakwah demi kebaikan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Hasil karya penulis harus jelas dan mudah difahami pembaca,” tegas Pena Mutiara lagi.

Wednesday 21 December 2011

Al Hisyam




WAJAH INI, LAHIR PADA 1968. DIBESARKAN DI JALAN TAIPING, TALANG. MENDAPAT PENDIDIKAN DI SMCKK. Penglibatan genre puisi, skrip, rencana, cerpen dan lain-lain. Karya tersiar di media cetak dan elektronik semenjak tahun 1986. Mingguan Malaysia, Utusn Melayu, Berita Minggu, Al Islam, Mingguan Wanita, Jendela Utara, Warta Perdana dan lain-lain. Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) Lembaga Pembangun Sastera Negeri Perak (Lepas Pk)

Monday 12 December 2011

Hanifah Hj Ibrahim

Hanifah Hj Ibrahim dilahirkan  pada 24 September, 1949 di Kampung Sungai Lampam, Teluk Intan perak.  Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Chikus, kemudian ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan dan dan seterusnya ke Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Ta’ayah, Ipoh hingga ke Peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).  Beliau pernah mengikuti kursus penulisan di Ronjar Prorassive And Supply dan Pusat Kerjaya Anda di Kuala Lumpur serta Bengkel Penulisan anjuran Yaysan Kesenian Negeri Perak.

Mula menulis ketika berusia 15 tahun dan hasil karya telah tersiar di Akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia  juga dipelbagai majalah hiburan dan sastera seperti Al-Islam, Kiblat, Harmoni, Keluarga , Remaja, Perempuan dan juga Titian Mesra ( Lidah Rasmi Kerajaan Perak) . Karyanya juga telah diterbitkan dalam bentuk buku bersama-sama dengan penulis lain seperti  Ridzuan I (Karyawan Pk), Puisi Danau Hati (Karyawan Pk) Suratan ( Karyawan Pk) Catatan Pengembara (Khazanah Kayawan Pk) “ Tsunami”- Rakaman Sejarah Ngeri, 2005.  Puisi Istana Kasih I (2005) Istana  Kasih 2  ( 2007) terbitan Karyawan Perak ( Karyawan Pk) . Anti Perang Lakaran dan Puisi (Yayasan Kesenian Perak dan Puisi Suara Seni ( Yayasan Kesenian Perak)

Aktiviti: 1967 – 1968 menjadi Setiausaha Persuratan AB/GPMS Ipoh.. Menjadi Ahli Persatuan Karyawan Perak pada tahun 1993. Pada tahun 2000 hingga 2004 sebagai Ahli jawatankuasa dan Tahun 2006 sebagai Pemeriksa Kira-kira hingga sekarang. Pengalaman bekerja pada tahun 1971 di Majlis Daerah, Teluk Intan dan pada tahun 1973 – 1976 bekerja sebagai Guru Sementara di Sekolah Kebangsaan Bagan Datoh dan di Kuala Kangsar Perak. Hobi membaca, melukis dan melancong dan kini berjinak-jinak dengan penulisan Khat. Sekarang menjadi suri rumah sepenuh masa dan menetap di Taman Malcop, Ipoh, Perak. 

Wednesday 5 October 2011

AHMAD MAHMUD


SBDJ, Tamar Jalis dan Ahmad Mahmud: Satu Sorotan Ringkas
oleh Zabidin Hj Ismail

Pengenalan


Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama bersiaran dalam sebuah majalah tempatan.  Sebanyak 284 siri disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005. Ini adalah rekod Malaysia bahkan  merupakan satu rekod dalam arena persuratan dunia.
Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri.
Prof. Dr. Adnan Nawang pernah membuat anggaran bahawa SBDJ tercetak lebih sejuta naskhah. Sayangnya, disebabkan siri itu teramat popular, ia dicetak rompak dan dijual di mana-mana, sehingga di pekan-pekan kecil, kedai runcit Mamak dan Cina pun menjual siri itu. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu 222 hingga  284 belum lagi dibukukan.
Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi,  pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.
Karya ini digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui “orang pertama” iaitu Tamar Jalis bersama “datuk”nya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah) yang berkonsepkan penulisan memoir.
Semenjak terbitnya SBDJ hingga kini, karya tersebut sangat diminati ramai dan mempunyai “peminat” tersendiri sehingga wujud facebook dan blog yang menggunakan nama Tamar Jalis dengan kendalian peminatnya. Melalui laman sosial dan blog berkenaan para peminat sering bertukar maklumat / pandangan mengenai SBDJ[1].


Sejarah kemunculan SBDJ

Pada peringkat awal, Tamar Jalis menulis SBDJ atas permintaan kawannya  Mustafa Ton (kini: Dato’) bagi meluaskan pengedaran majalah Variasari kepunyaan Mustafa.  Waktu itu pejabat Variasari terletak di Jln Raja Alang, Kuala Lumpur.
Majalah Variasari mula diterbitkan pada awal 1980-an. Tetapi pengedaran majalah bulanan ini pada peringkat permulaannya,   tidak meluas dan kurang perhatian daripada pembaca.  Konsep Variasari mirip Mastika yang established  tidak mampu mencuri pembaca Mastika. 
Hakikatnya,  sebelum Mustafa Ton mengambil alih pengurusan Variasari, telah ada dua pengusaha lain yang pernah mengendalikan Variasari tetapi gagal mencapai matlamat jualan yang diharapkan.   Mustafa Ton pengusaha ketiga yang mungkin menemui kegagalan seperti pengusaha yang terdahulu seandainya sesuatu tindakan strategik tidak dilakukan terhadap Variasari.
Mujur Mustafa Ton menemui Ahmad Mahmud dan melantik beliau mengetuai Variapop Group sebagai Ketua Pengarang.  Justeru  Ahmad Mahmud bertanggungjawab mencari jalan bagi meningkatkan jumlah jualan Variasari.  Saat itulah Ahmad Mahmud terlintas untuk merakamkan kisah hidup Kulup Muhamad  Diah atau Long Mat Piah dalam bentuk penulisan.
Kulup Muhamad Diah @Long Mat Diah dijadikan protagonis dalam SBDJ adalah wira tanpa wirawati.  Ahmad Mahmud menggunakan nama pena Tamar Jalis untuk siri ini. Beliau menggunakan pendekatan autobiografi dalam mengarap SBDJ yang paling sesuai diklaskan sebagai karya memoir. Pengarang menggunakan sudut pandangan  “orang pertama” iaitu Tamar Jalis sebagai watak pembantu kepada Kulup Muhamad Diah atau “Datuk” nya.



Kenapa SBDJ menarik minat pembaca?

a)    Gaya penulisan

Sesungguhnya, Ahmad Mahmud memiliki kepakaran menceritakan sesuatu dengan terperinci. Dia berbakat mengolah sesuatu cerita itu dengan bahasa Melayu  baku yang mudah difahami dan memikat. Dia mampu melukiskan setiap apa yang dilihat, apa yang didengar dan apa yang dirasanya dalam penulisan. Kekuatan inilah yang menyebabkan SBDJ menjadi tarikan pembaca.  Lihat petikan cerpen di bawah yang menggambarkan gaya penulisan Ahmad Mahmud yang asli. Sebagai contoh;

Kalau anda datang ke desa kami. Ikut jalan sebelah kiri, anda akan bertemu dengan perdu buluh yang tebat dan rimbun daunnya. Jika anda, melangkah lagi ke depan, sepuluh langkah, pasti tersua dengan pusara tua yang bernisan condong.

Tidak jauh dari pusara itu, ada pondok buruk yang dikelilingi pokok-pokok puding. Dalam jarak tiga puluh kaki ke utara pusara itu, ada surau buruk yang tangganya, mengadap sebatang anak sungai.

(cerpen Samad Toja, Mingguan Malaysia, 26.5.1974)


            Gaya penulisan begini lantas memikat pembaca. Apa tah lagi SBDJ menghidangkan pelbagai pengalaman misteri “Datuk” Tamar Jalis yang memberikan dimensi baru kepada pembaca.  Apabila siri SBDJ dipaparkan dalam Variasari, jualannya mencecah sehingga 40 ribu naskah sebulan.
            Malahan ada satu ketika edaran Variasari menyaingi majalah established Dewan Masyarakat yang waktu itu menyiarkan rencana pembongkaran kisah hidup Shamsiah Fakih hasil penyelidikan dan siasatan Fatni Yaacob (kini Datin)  di Negara China.
Oleh kerana Variasari mendapat perhatian sehingga tersebar di Singapura, Selatan Sumatera dan Brunei Darussalam, Mastika keluaran Utusan Melayu yang sudah ada pembaca tersendiri terpaksa menukar imej, trend dan bentuk seakan-akan Variasari kerana pembaca setianya sudah beralih angin membaca Variasari. Waktu itu Mastika dipimpin oleh Allahyarham Zainol Fakir. Saban bulan pembaca ternanti-nanti kemunculan SBDJ dan edaran Variasari memuncak semenjak siri 1 hingga 18[2].
Pada pertengahan tahun 1980-an SBDJ dikompilasikan dalam beberapa buah jilid. Anggaran setiap cetakan menjangkau 30 hingga 40 ribu naskah dan diulang cetak berkali-kali.  Ahmad Mahmud  menganggarkan SBDJ dicetak  berjumlah jutaan naskah.


b)    Nilai-nilai kemelayuan


Hampir seratus peratus kandungan SBDJ mempunyai nilai-nilai keMelayuan.  Nilai-nilai tersebut terserlah dalam wacana, kata bual, naratif malahan perwatakan protagonis (Datuk)  dan Tamar Jalis sendiri. Sebahagian besar nilai-nilai tersebut dipaparkan melalui instrinsik manipulatif yang berseni dan indah.  Contoh nilai-nilai Melayu seperti petua, jampi serapah, seni persilatan, penggunaan ayat al- Quran, lokasi kembara malahan tindak tanduk watak juga mengambarkan gaya hidup dan corak pemikiran bangsa Melayu. Lihat bagaimana Ahmad Mahmud menggunakan instrinsik manipulatif dalam siri 20 – diganggu monyet besar.:

Saya mula langkah ke arah pokok langsat pula. Jarak saya dengan Masitah tidak begitu jauh. Tetapi, saya masih enggan memperlihatkan diri, Masitah bersembunyi di balik pokok langsat.
“Saya nak balik”
“Baliklah, kenapa bagi tahu saya….”
“Sombong sangat, ni,” kata saya lagi.
“Hum..”
Masitah menjeling tajam ke arah saya…..
………..
……….
Masitah senyum. Dengan tergesa-gesa saya menuliskan nama dan alamat pada kertas. Saya selitkan kertas itu pada ranting keduduk bercabang tiga.
“Jangan lupa ambil tau,” kata saya
Tidak ada jawapan dari Masitah. Tetapi apa yang jelas dia mengangguk. Ertinya dia bersedia memenuhi arahan saya.

Nilai Melayu dalam petikan di atas cara bagaimana teruna dan dara Melayu memulakan persahabatan. Ada cara dan batas-batas tertentu. Perwatakan Masitah digambarkan sebagai dara sunti yang lemah lembut tetapi tegas dalam mengawal maruah.
Nilai Melayu yang nyata ialah lukisan latar yang membabitkan pokok langsat dan senduduk (keduduk). Latar yang dilukiskan oleh Tamar Jalis dalam perkenalan antara “Masitah dan saya” menggambarkan suasana sebuah kampung Melayu (dlm. konteks petikan ialah Balik Pulau). 
Lazim di perkampungan tradisional Melayu, pokok langsat dan senduduk amat sinonim dengan kehidupan bangsa Melayu. Pokok senduduk selalunya tumbuh meliar berdekatan langsat. Cerita langsat dan senduduk boleh digambarkan melalui pantun ini;

            Buah langsat kuning mencelah,
senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah,
tanduk tidak berguna lagi.


Walaupun banyak sebab kenapa SBDJ memikat pembaca tetapi faktor utama yang dominan ialah gaya penulisan dan nilai-nilai keMelayuan yang memberikan pengetahuan atau ilmu baru kepada pembaca dalam memahami kehidupan masyarakat Melayu dahulu kala.


SBDJ: khazanah Negeri Perak yang tersohor


Bagi saya, SBDJ adalah karya kreatif Melayu yang tersohor. Mampu menyaingi Harry Potter oleh JK Rowling seandainya dialih bahasa ke bahasa dunia. Ia merupakan khazanah Perak yang bernilai bukan hanya kerana penulisnya, anak Perak tetapi hampir tujuh puluh peratus kisah dalam SBDJ berkaitan dengan Negeri Perak baik mengenai sejarah, perkara benar, lokasi dan sebagainya adalah dokumentasi tulisan berbentuk kreatif yang pertama di tanah air.
 SBDJ bukan cerita seram. Ia juga bukan kisah jin atau bunian semata-mata. Kalau kita hayati 284 siri itu, berapa peratus kah alam bunian, jin, hantu dan jembalang dipaparkan?
Kebanyakan masyarakat melihat SBDJ sebagai cerita seram semata-mata kerana tajuknya. Acap kali juga ilustrasi yang dipaparkan pada kulit buku atau pada lembaran siri dengan gambaran hantu dan peri lantas persepsi terbentuk mengatakan SBDJ adalah cerita seram dan tahyul.  Justeru mereka yang berfikir di dalam kotak terus menganggap SBDJ sebagai buku picisan dan popular.
Janganlah menilai buku daripada kulitnya; hayati kandungannya. SBDJ dapat dikategorikan novel kembara atau memoir yang sarat dan tepu dengan pengalaman hidup  wira iaitu Kulup Muhamad Diah @ Datuk. Wira bukan sebarang wira tetapi memiliki pelbagai kepandaian termasuk menundukkan hantu dan jin yang sukar diperoleh ilmu begitu pada orang sekarang.
Sesungguhnya, SBDJ perlu dimartabatkan sebagai sebuah karya klasik yang bernilai tinggi sebagaimana Misa Melayu karya Raja Chulan Abdul Hamid, Anggun Cik Tunggal, Awang Sulung Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan Hikayat Malim Dewa oleh Pawang Ana  yang menjadi magnum opus atau karya agung  bagi negeri Perak.



Siapa Tamar Jalis?

           

Nama Tamar Jalis ada tercatat dalam Hikayat Inderaputera[3] yang menyebut bahawa Tamar Jalis adalah anak raja jin Tamar Bunga (Tamar Boga)  yang telah dibunuh oleh Inderaputera.  S.W Rujiati Mulyadi mencatatkan bahawa Tamar Jalis adalah anak jin kafir;

            “….sebagai contoh umpamanya diceritakan bahawa Tamar Jalis, anak seorang raja jin kafir, berperang dengan Nobat Rum Syah, anak seorang jin Islam. Pada akhirnya Indera Putera dating membantu barisan jin Islam dan Tamar Jalis dapat dibunuhnya. Dendam akan hal ini ayah Tamar Jalis – Taman Boga – mencari-cari Inderaputera, yang ditemukan sedang tidur terlena di bawah pohon”.[4]

            Sehubungan itu, Tamar Jalis adalah nama samaran Ahmad Mahmud. Beliau memilih Tamar Jalis kerana nama  yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera itu,  amat sesuai dengan tajuk siri yang berkaitan dengan mahkluk jin.


Latar Belakang Ahmad Mahmud


Nama sebenar  Ahmad Mahmud ialah Mohamad Radzi bin Mahmud dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36, Jalan Sitiawan, Beruas, Perak. Mendapat pendidikan Melayu, Inggeris hingga ke Sekolah Teknik, Ipoh dalam bidang tukang kayu dan binaan.
            Pengalaman kerjayanya bermula pada tahun 1959 apabila bertugas sebagai Juruteknik Rendah di sebuah jabatan kerajaan selama tiga bulan. Kemudian menjadi buruh kereta api selama lima hari. Awal tahun 1960, Ahmad Mahmud menjadi buruh kasar membina jana elektrik di Cameron Highland.
            Pada tahun yang sama, beliau diterima menjadi Pemberita Sambilan untuk akhbar Warta Negara, Utusan Melayu, Berita Harian di samping menyumbang tulisan kepada beberapa majalah hiburan yang diterbitkan di Singapura di samping berniaga.
            Sekitar tahun 1964 hingga 1966, Ahmad Mahmud berkhidmat dengan tentera Wataniah. Tetapi setelah berhenti Wataniah, dia kembali berniaga sambil meneruskan kerjaya sebagai Pemberita Sambilan. Manakala pada sekitar tahun 1970 hingga 1977 beliau dilantik sebagai kerani pengedaran di Utusan Melayu, Berhad, cawangan Ipoh.
            Dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat sebagai penyunting alkhbar Harian Watan (1977-1979). Kemudian sebagai editor majalah terbitan Penerbitan Adabi seperti Widya, Aktual dan Rintis (1980). Setelah itu, pada tahun 1981, Ahmad Mahmud dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Variapop Sdn Bhd yang menerbitkan majalah Variapop, Variasari dan Famili.



Sejarah Penulisan


            Ahmad  Mahmud mula menulis semasa masih menuntut dalam tahun 1955 dengan menghantar tulisan ke Utusan Kanak-kanak dan majalah Tunas. Kemudian beliau menulis cerpen dewasa; kali pertama tersiar di majalah Mutiara dalam tahun 1958 berjudul Berhari Raya di Kampung. Tetapi bergiat secara serius dalam penulisan cerpen bermula pada tahun 1965. Pernah memenangi hadiahbernilai RM300  menerusi  peraduan menulis cerpen anjuran Berita Harian sebanyak tiga kali yang diadakan setiap hari Khamis. Judul cerpen yang menang itu ialah Kalau dah gila nak berbini, Ulam jering sambal tempoyak dan Pencari rotan.
            Cerpen-cerpennya banyak tersiar di pelbagai majalah seperti Mastika, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Widya, Utusan Filem dan Sports. Manakala akhbar pula ialah Berita Harian, Warta Mingguan, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

            Dua buah cerpen beliau, Menanti Ayah (Dewan Bahasa, 1971) dan Samad Toja (Mingguan Malaysia 1974 telah memenangi hadiah Karya Sastera Kebangsaan. Di samping itu beberapa buah cerpen beliau termuat dalam antologi bersama seperti berikut:

1.    Intan Terpilih (Utusan Melayu)
2.    Perjalanan (Dewan Bahasa dan Pustaka)
3.    Pemenang (Dewan Bahasa dan Pustaka)
4.    Di Bawah Bayang Kemboja (Dewan Bahasa dan Pustaka)
5.    Suatu Subuh Yang Bening (Fajar Bakti)
6.    Alun Mengulung Perlahan (Fajar Bakti)

Senarai cerpen yang tersiar di akhbar dan majalah
            Watan  (3)

23.07.1978 - Dendam
22.02.1979 - Sebuah Rumah Untuk Hari Tua
13.07.1979 - Rokok Sekotak
Top of Form
Bottom of Form
Mingguan Malaysia (11)

06.06.1971 - Mat Deham Orang Lama
26.05.1974 - Samad Toja
01.09.1974 - Oh Angin, Oh Ombak
12.01.1975 - Zamin Datang Lah
05.10.1975 - Sayang, Si Zubir Sayang
21.03.1976 - Sayang Tanjung Ara
18.07.1976 - Keretapi Mel
26.12.1976 - Paman
13.03.1977 - Lelaki Tua
12.03.1978 - Aduhai Paman
24.08.1980 - Adik tak sayang abang
Top of Form

Utusan Zaman  (22)

13.11.1966 - Tersedu
05.03.1967 - Balang Tempoyak Meletup
03.07.1967 - Warung Awang Kudung
19.11.1967 - Hati Bangsa Ku Tidak Begitu
31.03.1968 - Hancur
16.06.1968 - Cabaran
11.08.1968 - Biarlah Aku Masuk Neraka
30.03.1969 - Manusia Tidak Sempurna
07.03.1971 - Air Mata
02.05.1971 - Mamat Buka Bengkel
08.08.1971 - Minyak Karun
02.04.1972 - Api Menjilat Langit
22.10.1972 - Anak Bertuah
18.03.1973 - Yang Kembali
20.05.1973 - Kudun
14.10.1973 - Bapa
16.02.1975 - Ipoh Oh Ipoh
01.06.1975 - Lelaki Setengah Umur
19.10.1975 - Air Yang Mengalir
04.04.1976 - Aduh Kampung Gajah
08.08.1976 - Hari Yang Bahagia
28.09.1980 - Mariamah ku sayang lihat seterusnya

Top of Form
Berita Minggu (6)

04.09.1966 - Cinta Yang Sungguh Ganjil
17.09.1967 - Pulang, Pulang, Pulang
07.04.1968 - Air Mata Terus Mengalir
21.07.1968 - Amanat Ayah
10.08.1969 - Jangan Ayah, Jangan
05.10.1969 - Cucu Kesayangan Datuk



Dewan Bahasa  (2)

Oktober 1971      – Menanti ayah
September 1973 – Jangan tinggalkan emak

Dewan Sastera (2)

Januari 1977 – Paman
April 1980     – Cincin berlian, bermata dua


            Selain menggunakan nama Ahmad Mahmud, beberapa nama pena seperti Ramadan A.M dan Atma A.M turut digunakan terutama dalam penulisan novel. Antara novel yang dihasilkan menggunakan nama Ahmad Mahmud ialah:

1.    Pucuk-pucuk yang Mati (1967)
2.    Lorong Hitam (1969)
3.    Rumah Urut (1970
4.    Selembut Bayu Pagi (1980)


Atas nama Ramadan A.M ialah:


1.    Selembut Angin Senja (1984)
2.    Sejambak Mesra, Seluas Rindu (1984) – Novel ini telah dijadikan drama tv untuk slot Citraneka sebanyak tiga siri yang ditayangkan di TV (RTM) dalam bulan Februari dan Mac 1992.
3.    Kukirim Rindu Untukmu (1988)
4.    Kasih Sewangi Cempaka (1988)


Atas nama Atma A.M ialah:

1      Sebening Sinar Matamu (1987)
2      Ku Nanti di Pelabuhan Kasih (1987)
3      Di sini Cintaku Berbunga (1987)
4      Sebening Sinar Matamu (1987)
5      Ketika Rindu Datang (1987)
6      Seraut Wajah Kekasih (1986)


Ahmad Mahmud juga pernah menjadi kolumnis untuk akhbar Suara Merdeka dengan siri berjudul Tepi Jalan dan di akhbar Watan dengan ruangan bertajuk Ciri-ciri Hidup.
Dalam aktiviti sastera dan badan penulis, Ahmad Mahmud pernah bergiat aktif dengan Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) serta Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) serta Persatuan Wartawan Melayu



Penutup


SBDJ adalah karya kreatif Melayu yang seharusnya dimartabatkan sebagai khazanah sastera negeri Perak. Perbadanan Perpustakaan Awam berperanan menyimpan dan memelihara karya ini agar ia tidak lenyap ditelan zaman.


Bibliografi

Hikayat Inderaputera, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ensaikolopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 173
Wawancara dengan Ahmad Mahmud pada 18 Mei 2011 menerusi telefon.
Surat peribadi Ahmad Mahmud kepada Penulis (1992).
Tamar Jalis 1992.  “ Diganggu Monyet Besar” dlm Bercakap dengan Jin.Kuala    Lumpur: Variapop Group.


[2]  Wawancara dengan Ahmad Mahmud menerusi telefon pada 18.5.2011
[3]    Bab 4  – Di Negeri Jin Islam,  hlm.  21
[4]  S.W. Rujiati Mulyadi dlm. Rona Keislaman dalam Hikayat Inderaputera, hlm. 136-137. Lihat http://www.persee.fr/web/revues/home/prescript/article/arch_0044-8613_1980_num_20_1_1594
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...